Adira kunci mulut soal cinta baharu hingga kes mahkamah selesai - Utusan Malaysia

Adira kunci mulut soal cinta baharu hingga kes mahkamah selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi, memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan kononnya sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang jejaka yang identitinya masih dirahsiakan.

Tanpa mengesahkan atau menafikan khabar angin tersebut, Adira atau Siti Adira Suhaimi, 35, berkata, fokus utamanya ketika ini adalah menyelesaikan kes mahkamah yang masih berjalan membabitkan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.

“Berkaitan perkara itu, saya masih belum bersedia untuk bercakap memandangkan kes mahkamah masih belum selesai.

“Jadi, saya lebih selesa berdiam diri. Apabila semuanya sudah selesai nanti, barulah saya boleh berkongsi mengenai perkara lain,” katanya.

Adira  demikian ketika ditemui pada sesi rakaman video muzik lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 yang turut menampilkan Marsha Milan, Nadeera Zaini dan Aisha Retno di Istana Budaya, di sini, pada Khamis.

Penyanyi lagu Ombak Rindu itu turut meluahkan rasa syukur kerana menerima sokongan padu daripada keluarga serta rakan-rakan sepanjang berdepan proses perbicaraan.

“Saya okey sahaja. Semua ini atas doa kawan-kawan. Orang di sekeliling juga banyak memberikan kata-kata semangat dan itulah yang membuatkan saya terus sabar.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan selain menunggu sehingga kes ini selesai,” ujarnya.

Sebelum ini, Datuk Red dilaporkan memfailkan permohonan pengesahan rujuk di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada Disember tahun lalu.

Untuk rekod, Adira dan Adnan sah bercerai pada 24 April 2024 selepas sembilan tahun melayari alam rumah tangga.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Anggrek, 9, Asan, 8, Anggun, 7, dan Ayob, 4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN