KOTA BHARU: Terdapat 50 daripada keseluruhan 865 projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara dikategorikan sebagai ‘sakit’.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sentiasa memantau rapi projek-projek berkenaan, malah ia dibincangkan setiap minggu selepas Mesyuarat Kabinet.
Katanya, Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan diberi mandat mengetuai pasukan pemantauan projek sakit di seluruh negara.
“Memang setiap projek sakit kita kawal dan pantau rapi, supaya dapat menentukan sama ada ia perlu ditamatkan atau diteruskan jika peratusannya hampir siap.
“Projek hampir siap kita berikan lanjutan masa E.O.T) supaya boleh disiapkan, sebab kalau ditamatkan pun kos tetap meningkat untuk lantik kontraktor lain,” katanya ketika ditemui semasa melawat Projek Menaik Taraf Jalan FT209 dan FT131 di Panchor, di sini hari ini.
Beliau berkata, di Kelantan terdapat tujuh atau 6.7 peratus projek dikategorikan ‘sakit’ daripada keseluruhan 104 projek dilaksanakan JKR.
Alexander berkata, sudah ramai kontraktor ditamatkan kontrak akibat kegagalan menyiapkan projek dan ia bukan suatu keputusan mudah kerana perlu dibuat mengikut tatakelola dengan mengambil kira pelbagai perkara. – UTUSAN










