KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dijangka dipecat daripada jawatan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, sebagai tindak balas daripada keputusannya meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) baru-baru ini.
Sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia, jawatan Pengerusi BPN Bersatu Perlis mungkin diambil alih oleh timbalan, Izizam Ibrahim yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Sumber berkata, kedudukan Abu Bakar sebagai Menteri Besar tidak akan terjejas dan bertahan sehingga habis penggal.
“Dijangka Presiden (Bersatu) akan memecat Abu Bakar selaku Pengerusi Bersatu Perlis dan digantikan dengan timbalannya. Ia berkemungkinan disebabkan peletakan jawatan Abu Bakar sebagai Ahli MPT,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, Abu Bakar dan seorang Exco meletak jawatan sebagai ahli MPT, selain pengisytiharan keluar parti oleh Setiausaha BPN Bersatu Perlis merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan.
Abu Bakar memaklumkan, peletakan jawatannya sebagai ahli MPT adalah bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Menteri Besar yang berbaki kira-kira setahun, sebelum tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam responsnya selepas itu memaklumkan bahawa Bersatu kekal kukuh dan utuh, meskipun terdapat beberapa pemimpin tertinggi parti termasuk Abu Bakar mengambil keputusan melepaskan jawatan dalam barisan MPT.
Muhyiddin berkata, beliau akan mendapatkan laporan lengkap terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai kedudukan sebenar pemimpin berkenaan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menegaskan bahawa, walaupun pemimpin terbabit meletakkan jawatan dalam kepimpinan tertinggi, mereka secara rasminya masih kekal sebagai ahli Bersatu dan segala isu dalaman akan diselesaikan secara tertutup.
Sementara itu, Abu Bakar ketika dihubungi berkata, jangkaan dipecat sebagai Pengerusi BPN boleh berlaku dan ia terserah kepada budi bicara Presiden Bersatu. – UTUSAN










