700 rakyat Malaysia dikaitkan sindiket penipuan di Taiwan 

700 rakyat Malaysia dikaitkan sindiket penipuan di Taiwan 

Hishamuddin Hashim dalam sidang media di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).-UTUSAN/SADDAM YUSOFF 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan sebanyak 700 kes melibatkan rakyat Malaysia telah dikesan mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan di Taiwan. 

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, maklumat mengenai 700 kes tersebut diperoleh oleh abang salah seorang mangsa selepas meminta bantuan ekoran adiknya ditahan.

Beliau menjelaskan bahawa taktik sindiket ini menyebabkan beban kesalahan diletakkan sepenuhnya di bahu mangsa yang hanya dipergunakan sebagai keldai.

Menurutnya, mangsa sukar membela diri di mahkamah di sana kerana kos melantik peguam swasta dianggarkan mencecah RM20,000 hanya untuk membuka fail.

Sekiranya mangsa menggunakan khidmat peguam yang dilantik di sana, mereka biasanya akan diminta untuk mengaku bersalah walaupun kes tersebut mempunyai merit untuk dibela.

“Kebanyakan mereka adalah daripada golongan orang susah dan dijadikan sebagai pak sanggup atau proksi yang dieksploitasi oleh sindiket, sedangkan dalang utama tidak dikenali,” katanya pada sidang media hari ini. 

Sehubungan itu, MHO bercadang mengumpulkan semua ahli keluarga mangsa bagi mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Taiwan di Malaysia untuk mencari jalan penyelesaian alternatif.

Sepanjang tempoh ditahan, mangsa dilaporkan kerap menghubungi ahli keluarganya bagi meminta mereka memindahkan wang tebusan dengan segera kerana bimbang akan keselamatan nyawanya.

Sindiket berkenaan bertindak menghantar mesej ugutan kepada keluarga mangsa dengan menuntut bayaran yang sentiasa meningkat, bermula daripada RM40,000 sehingga mencecah RM250,000.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN