KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 70 peratus pelajar prasiswazah sepenuh masa secara fizikal di semua universiti awam (UA) dan politeknik seluruh negara disasar mendapat kemudahan kolej kediaman menjelang 2035.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia digariskan menerusi Dasar Kemudahan Kolej Kediaman di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang dibangunkan pada November 2024 hasil kerjasama dengan Majlis Perumahan Universiti-universiti Malaysia (MAPUM) dan sesi libat urus bersama pemimpin mahasiswa.
Beliau berkata, penyediaan lebih banyak kolej kediaman baharu merupakan sebahagian pelan jangka panjang untuk memenuhi keperluan penginapan mahasiswa, khususnya dalam kalangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
“Bagi memenuhi keperluan penginapan mahasiswa di universiti, lebih banyak kolej kediaman pelajar akan dibangunkan sebagai pelan jangka panjang demi keselesaan mereka, terutamanya melibatkan pelajar golongan B40,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berkenaan langkah konkrit bagi mengatasi kekurangan kolej kediaman sehingga menyebabkan ramai pelajar terpaksa menyewa di luar kampus dengan kos tinggi.
Zambry berkata, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RP1, RMK13), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerima peruntukan hampir RM1.1 bilion bagi kerja penggantian, naik taraf serta pemulihan infrastruktur dan peralatan usang di IPTA.
Katanya, daripada jumlah itu, hampir RM225 juta diperuntukkan untuk menaik taraf serta membaik pulih asrama sedia ada bagi memastikan kemudahan penginapan mahasiswa berada dalam keadaan lebih selesa dan kondusif.
Beliau berkata, sebanyak 36 projek kolej kediaman IPTA dilaksanakan menerusi kerjasama awam swasta (PPP) sepanjang tempoh berkenaan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 projek telah siap dibina melalui kaedah PPP yang mampu menyediakan kapasiti penginapan sehingga 45,000 pelajar.
“Bagi tempoh RMK13 pula, kerajaan bercadang membina lima kolej kediaman baharu di UA menerusi kaedah PPP yang dijangka dapat menampung sehingga 21,000 pelajar,” katanya.
Beliau berkata, semua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa terpelihara menerusi penyediaan kemudahan penginapan yang mencukupi. – UTUSAN







