KOTA BHARU: Sebanyak 25 keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas terlibat kebakaran di Kampung Gok Kapor di sini, bulan lalu masing-masing menerima sumbangan lebih RM12,840.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijang, Datuk Dr. Izani Husin berkata, semua sumbangan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM337,000 itu adalah nilai terkumpul diterima daripada pelbagai pihak yang menghulurkan derma.
Katanya, 25 keluarga mangsa kebakaran masing-masing menerima sumbangan dengan jumlah tersebut manakala dua lagi keluarga mendapat RM8,000 apabila hanya sebahagian sahaja rumah mereka musnah dijilat api.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga memandangkan kebanyakan daripada mangsa masih mempunyai pekerjaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan
Sumbangan Tabung Bencana Kebakaran di Kampung Badang di sini, semalam.
Seorang mangsa kebakaran, Yamin Abdullah, 70, berkata, dia dan keluarganya menyewa di sebuah rumah di Kampung Kedai Buluh di sini, selepas kejadian tersebut dan urusan bayaran sewa rumah baharu ditanggung pihak Masjid Banggol dan kerajaan negeri untuk tempoh lima bulan pertama.-UTUSAN










