KUALA LUMPUR: Sebanyak 303 projek perumahan swasta melibatkan 43,288 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM40.25 bilion dikategorikan sebagai projek sakit di Semenanjung Malaysia setakat 30 Jun lalu.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, sebanyak 100 projek pula disahkan terbengkalai melibatkan 27,998 unit rumah dan 14,961 pembeli.
Katanya, Selangor mencatatkan jumlah projek terbengkalai tertinggi iaitu sebanyak 41 projek diikuti Kelantan (13) dan Terengganu (11) manakala Melaka, Perlis dan Putrajaya tidak merekodkan sebarang projek dalam kategori itu.
“Bagi menangani isu ini, kementerian melaksanakan usaha pemulihan menerusi Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).
“Setakat Jun 2026, sebanyak 1,647 projek perumahan melibatkan 192,912 unit rumah bernilai RM153 bilion berjaya dipulihkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
KPKT menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berhubung jumlah terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai, bilangan pembeli terjejas serta tindakan mempercepat proses pemulihan.
Menurut KPKT, TFST memberikan tumpuan kepada empat pendekatan utama iaitu mengenal pasti projek bermasalah, mencari penyelesaian, mencegah masalah sama daripada berulang dan merangka kaedah pemulihan yang lebih berkesan.
Kementerian itu turut bertindak sebagai pengantara dalam rundingan antara pemaju, pembeli, institusi kewangan dan agensi berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap projek bermasalah
Reformasi Perumahan Madami yang dilaksanakan mulai 1 Januari lalu menyasarkan sifar projek perumahan baharu terbengkalai menjelang 2030 termasuk melalui penggunaan perjanjian jual beli elektronik (eSPA).-UTUSAN










