22,339 tentera, polis undi awal di 38 pusat hari ini

22,339 tentera, polis undi awal di 38 pusat hari ini

Petugas SPR membuat persediaan menjelang proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan hari ini. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tumpuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini terarah kepada proses pengundian awal yang melibatkan anggota tentera, polis serta pasangan masing-masing di 38 pusat pengundian yang dibuka di seluruh negeri.

Seramai 22,339 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab mereka, terdiri daripada 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang mencatatkan bilangan pengundi awal tertinggi iaitu 7,021 orang.

Ia sekali gus menjadi kawasan yang dijangka menerima tumpuan pada hari pengundian awal.

Sebanyak tiga pusat mengundi awal dibuka di DUN berkenaan iaitu di Kem Sunggala, Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).

Di DUN Gemas pula mempu­nyai seramai 4,298 pengundi awal terutamanya anggota tentera dan pasangan di Kem Syed Sirajuddin

DUN Rantau pula merekodkan seramai 1,114 pengundi awal terdiri daripada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berada di Pangkalan Udara Sendayan.

Sementara itu, DUN Linggi merekodkan jumlah pengundi awal seramai 2,222 dalam kala­ngan anggota tentera dan pasa­ngan dengan pusat mengundi awal utama dibuka di Kem Segen­ting di sini.

Bagi anggota polis, DUN Temiang mempunyai jumlah pengundi awal tertinggi iaitu 900 orang berikutan kawasan itu menempatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Sementara itu, pengundian awal lazimnya menjadi antara petunjuk awal yang diperhatikan kerana corak sokongan dalam kalangan anggota keselamatan sering dikaitkan dengan momentum parti-parti yang bertanding.

Ia meskipun keputusan itu tidak semestinya mencerminkan keputusan keseluruhan pilihan raya.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, berdasarkan corak pengundian pada pilihan raya sebelum ini termasuk di Johor, Barisan Nasional (BN) berpotensi memperoleh kelebihan dalam pengundian awal.

Katanya, rekod lalu menunjukkan undi awal dan undi pos lebih banyak memihak kepada BN serta Perikatan Nasional (PN) manakala Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak mempunyai kelebihan dalam kelompok pengundi berkenaan.

“Bagaimanapun, perkemba­ngan kempen sepanjang lebih seminggu kebelakangan ini memperlihatkan landskap persaingan berubah apabila PH dilihat mempunyai sedikit kelebihan berban­ding lawannya.

“Pada peringkat awal selepas penamaan calon, BN dan PN dilihat berpotensi memenangi lebih banyak kerusi namun keadaan berubah apabila jentera PH dilihat lebih tersusun selain tidak banyak berdepan isu sepanjang tempoh berkempen,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, BN dan PN berdepan beberapa isu daripada sudut penyelarasan kempen apabila timbul kenyataan yang dilihat bercanggah antara pemimpin kedua-dua gabungan itu.

Beliau berkata, keadaan itu memperlihatkan penyelarasan naratif antara BN dan PN masih belum benar-benar mantap, berbeza dengan PH yang dilihat menjalankan kempen secara lebih tersusun.

“Pada masa sama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bergerak secara solo pula lebih memberi tumpuan untuk memperoleh jumlah undi yang signifikan serta memenangi beberapa kerusi yang telah disasarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN