SERAMAI 191 pelajar Orang Asli Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima menyertai Reach & Rise: Orang Asli Empowerment Programme anjuran Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) Cawangan Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya, Rompin baru-baru ini.
Program berteraskan komuniti itu memberi tumpuan kepada pembelajaran interaktif, pembangunan kemahiran dan pemupukan keyakinan diri bagi memperkasa pendidikan serta potensi pelajar Orang Asli. Program berkenaan dirasmikan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Ir. Dr. Azhani Zukri.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan penting bagi memastikan akses pendidikan lebih inklusif kepada komuniti Orang Asli.
Penyelaras program, Nur Hidayahtul Nabihah Manas berkata, program itu digerakkan dengan penglibatan 51 sukarelawan terdiri daripada pelajar dan staf TAR UMT serta rakan strategik.
Katanya, inisiatif berkenaan membantu peserta mengenal potensi diri secara holistik, sekali gus membuka ruang kepada peluang masa depan yang lebih luas.-UTUSAN










