13,000 peserta meriahkan siri akhir MILO Malaysia Breakfast Day 2026

13,000 peserta meriahkan siri akhir MILO Malaysia Breakfast Day 2026

MORDI Mordi Bimol dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols bergambar bersama para peserta ketika flag off pada MILO Malaysia Breakfast Day 2026 (MBD 2026) di Dataran Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 13,000 peserta memeriahkan siri terakhir MILO Malaysia Breakfast Day 2026 (MBD 2026) yang berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini pagi ini.

Putrajaya adalah venue kemuncak dan terakhir MBD bagi tahun ini selepas berjaya memberi inspirasi kepada lebih 50,000 peserta di lima buah negeri.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata, program tahunan yang dianjurkan sejak 2013 itu bertujuan menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, keluarga dan kanak-kanak.

“Penyertaan yang begitu memberangsangkan ini menunjukkan masyarakat semakin menghargai kepentingan gaya hidup sihat. Kita melihat bukan sahaja golongan muda, malah keluarga dan anak-anak kecil turut bersama-sama memeriahkan program ini.

“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Terima kasih kepada MILO kerana menyediakan platform dan ruang kepada masyarakat untuk berkumpul serta mengamalkan aktiviti sihat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, beliau turut berharap kerjasama antara pihak korporat, kerajaan dan masyarakat dapat diperkukuhkan bagi menjayakan lebih banyak program berteraskan kesihatan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols berkata, suasana yang ditampilkan pada acara hari ini amat menginspirasikan apabila keluarga hadir seawal pagi untuk bersenam dan meluangkan masa bersama.

“Saya mempunyai keluarga dan anak-anak sendiri, jadi saya faham betapa pentingnya pemakanan yang baik serta aktiviti fizikal untuk kanak-kanak.

“Program seperti ini menggalakkan mereka keluar dari rumah, bermain, berlari dan melakukan aktiviti yang sihat berbanding hanya menghabiskan masa di hadapan telefon,” katanya.

Katanya, selepas menjelajah enam lokasi di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur bagi edisi tahun ini, pihak penganjur kini sudah mula merancang penganjuran MILO Malaysia Breakfast Day 2027.

MBD menyasarkan lebih 70,000 rakyat Malaysia di enam negeri utama yang memulakan tirainya di Kota Kinabalu sebelum ke Kuala Terengganu (Terengganu), Kuching (Sarawak), Kuantan (Pahang) dan Kota Bharu (Kelantan).

Program berskala besar itu bertujuan menyatukan komuniti daripada pelbagai latar belakang selain memperkukuh peranan penganjur dalam memperjuangkan pemakanan seimbang serta menekankan kepentingan sarapan sihat sebagai asas gaya hidup aktif dan sihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN