Selepas 12 tahun tersimpan tanpa identiti di herbarium, satu spesimen tumbuhan misteri yang ditemukan di Taman Bukit Tawau akhirnya disahkan sebagai spesies baharu dan dinamakan Ardisia condensiflora.
Spesies baharu itu diterbitkan secara rasmi pada 26 Mei lalu dalam jurnal taksonomi botani antarabangsa, Phytotaxa sekali gus menambah rekod penting biodiversiti Sabah yang masih menyimpan banyak khazanah alam belum diterokai.
Penemuan dan pengesahan spesies berkenaan dijalankan oleh penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Avelinah Julius bersama Dr. Timothy M.A. Utteridge daripada Singapore Botanic Gardens dan IBTP UMS.

Tumbuhan itu ditemukan pada 2014 di kawasan hutan dipterokarpa pamah campuran yang teduh serta di sepanjang tebing sungai dalam kawasan perlindungan Taman Bukit Tawau.
Bagi merungkai identiti spesimen berkenaan, kajian taksonomi dan herbarium secara mendalam dijalankan menggunakan spesimen yang dipinjamkan daripada Herbarium Taman Sabah.
Proses itu membuktikan kepentingan koleksi herbarium yang bukan sekadar menyimpan spesimen tumbuhan, tetapi turut menjadi rujukan penting dalam usaha mengenal pasti spesies baharu yang belum pernah direkodkan oleh sains.
Hasil kajian mendapati Ardisia condensiflora setakat ini hanya ditemukan di Taman Bukit Tawau, sekali gus menjadikannya spesies endemik Sabah.
Berdasarkan dua rekod koleksi yang ditemui, spesies nadir itu dinilai secara awal sebagai rentan (vulnerable) (VU D2) mengikut kriteria Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), berikutan taburan habitatnya yang sangat terhad.
Bagaimanapun, spesies itu masih belum menerima penyenaraian rasmi daripada badan berkenaan.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penemuan berkenaan membuktikan hutan Sabah kekal sebagai antara “makmal hidup” paling berharga di dunia.

“Penemuan seperti ini membuktikan masih banyak lagi yang perlu diterokai, didokumentasikan dan dilindungi,” katanya.
Sementara itu, Dr. Avelinah berkata, penemuan berkenaan menjadi peringatan bahawa Borneo masih menyimpan banyak spesies yang belum direkodkan oleh sains.
“Penerokaan saintifik, penyelidikan herbarium dan usaha pemuliharaan berterusan amat penting bagi memastikan spesies-spesies ini tidak pupus sebelum sempat dikenali,” katanya.-UTUSAN










