JOHOR BAHRU: Sembilan lelaki direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika menonton perlawanan akhir Piala Dunia di sebuah restoran di Taman Daya di sini, semalam.
Dua lagi suspek turut direman selama dua hari sehingga esok manakala seorang lagi suspek direman satu hari.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Ahmad Khairuddin Khalid di Mahkamah Majistret, di sini selepas permohonan dibuat pihak polis, hari ini.
Semua 12 suspek warga tempatan berusia antara 15 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sekitar Taman Setia Indah, di sini kira-kira pukul 10 hingga 11 pagi.
Tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis berhubung kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Taman Daya pada pukul 5.40 pagi, hari yang sama.
Kejadian tersebut turut tular di media sosial setelah rakaman video berdurasi 2 minit 36 saat memaparkan pergaduhan yang tercetus ketika perlawanan akhir Piala Dunia antara Sepanyol menentang Argentina, semalam.
Hasil semakan polis mendapati tiga daripada 12 suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata. – UTUSAN










