12 kampung di Tamparuli belum nikmati bekalan air terawat

12 kampung di Tamparuli belum nikmati bekalan air terawat

Madius Tangau pada persidangan DUN Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak 12 kampung di sepanjang Jalan Tamparuli-Ranau dikenal pasti masih belum menikmati bekalan air terawat secara menyeluruh sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kampung terbabit ialah Ruhiang, Kapa, Kopiringan, Loputung, Gayoratau, Bundu Tohuri, Minangkob, Togop, Sinalapak, Kelawat, Parad dan Bongol.

Menurut beliau, selain kawasan itu, banyak lagi kampung di Mukim Tenghilan turut berdepan masalah sama yang memerlukan perhatian segera kerajaan.

“Bekalan air bukan sekadar kemudahan asas rakyat, sebaliknya menjadi keperluan harian yang menentukan kesihatan keluarga, kebersihan, pendidikan anak-anak, kegiatan ekonomi dan kualiti hidup,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Katanya, Sabah memerlukan satu pelan induk bekalan air negeri yang mempunyai sasaran jelas, boleh diukur dan mempunyai garis masa pelaksanaan dan berharap kerajaan memasukkan kampung terbabit dalam naik taraf bekalan air terawat yang sempurna dengan segera.

“Saya juga minta penjelasan jumlah keseluruhan pelaburan yang diperlukan bagi membolehkan Sabah mencapai 30 peratus reserve margin bekalan air terawat di seluruh negeri.

“Saya turut ingin tahun sasaran itu akan dicapai,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN