113 pelarian berhimpun di depan UNHCR telah diserahkan kepada NGO

113 pelarian berhimpun di depan UNHCR telah diserahkan kepada NGO

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 113 pelarian termasuk 110 etnik Rohingya yang ditempatkan sementara di Dataran Wira, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, telah diserahkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua pelarian itu bergerak keluar dari IPK Kuala Lumpur kira-kira pukul 4 petang hari ini menuju ke destinasi yang telah ditetapkan oleh pihak NGO.

Katanya, NGO Kaladan yang berpangkalan di Ampang, Selangor, bertanggungjawab menguruskan penempatan dan kebajikan kumpulan pelarian berkenaan.

“Kesemua pelarian berjumlah 113 orang telah bergerak keluar menuju ke destinasi yang telah ditetapkan oleh pihak NGO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada keseluruhan pelarian itu, individu paling tua berusia 60 tahun, manakala yang paling muda ialah seorang bayi berusia satu bulan.

Terdahulu, kesemua pelarian terdiri 110 etnik Rohingya serta tiga individu lain masing-masing dari Iraq dan Indonesia telah dibawa ke IPK Kuala Lumpur.

Mereka dipindahkan sementara selepas kawasan di hadapan pejabat UNHCR merupakan lokasi sensitif dan tidak boleh dijadikan penempatan sementara oleh mana-mana individu atau komuniti.

Kesemua mereka dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur pada pukul 8.50 malam semalam dengan kerjasama wakil pejabat UNHCR.

Kumpulan tersebut terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.

Baki 110 individu pula ialah pelarian Rohingya yang terdiri daripada 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.

Proses dokumentasi terhadap semua pelarian dilaksanakan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam(JKDNKA) Kuala Lumpur bersama wakil UNHCR.

Hasil dokumentasi mendapati kesemua pelarian Rohingya terbabit memiliki dokumen UNHCR yang sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN