Jabatan Kokurikulum Sekolah Rendah Islam Al-Amin Cheras Selatan ( SRIAACS ) mengambil inisiatif menganjurkan Hari Ko-kurikulum SRIAACS 2026 (HKK’26).
Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.30 tengah hari telah berlangsung di perkarangan tempat letak kereta sekolah terbabit.
Pengarah program merangkap guru kanan kelab persatuan dan permainan Zayd Zaharin berkata, program itu merupakan tahun ke dua berjaya dianjurkan dan telah dirasmikan oleh Tuan Azlan Mubsyari selaku YDP IKRAM Bandar Tun Razak.
” Antara objektif utama untuk menggalakkan penglibatan aktif murid Tahap 1 & 2 dalam aktiviti kokurikulum serta memupuk kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerjasama dan tanggungjawab sosial. Disamping itu, program ini turut menjana dana sokongan bagi program kokurikulum sekolah “.
” Sambutan yang diterima amat meriah dengan kehadiran hampir 1000 pengunjung yang terdiri daripada murid, warga pendidik, staf sokongan, ahli keluarga, saudara mara dan masyarakat setempat “, katanya.
Menerusi program itu, terdapat 4 zon yang dibahagikan mengikut kategori tertentu iaitu gerai, pameran, pertandingan dan aktiviti riang ria .
Zon gerai yang mana murid berpeluang mengurus dan melakukan sendiri urusan jualan gerai Dari persiapan bahan jualan hinggalah sesi jual beli. Suasana bertambah gamat dan ceria apabila peniaga cilik begitu rancak mempromosikan produk jualan dengan menggunakan kaedah Pelbagai cara , taktik dan usaha mereka lakukan bagi menarik perhatian pengunjung untuk datang ke gerai masing-masing bagi membeli produk jualan makanan dan minuman.
Antara jenis makanan dan minuman yang dijual ialah aiskrim goreng, waffle, dim sum, air coklat ‘dino’ dan macam-macam lagi.
Terdapat empat kaunter dibuka untuk zon pameran. Antaranya pameran daripada Fakulti Bahasa UPM yang berkongsi tentang pelbagai Bahasa di Malaysia, Persatuan MyCARE mengenai aktiviti kesukarelawan, Kelab Muzik SRIAACS, dan pengumpulan minyak masak.
Apa yang menarik di zon pertandingan ialah kepelbagaian jenis pertandingan diadakan seperti spelling bee, e-sport games, UNO battle, kuiz pengetahuan am Dan macam-macam lagi . Pengunjung boleh menyertainya untuk mengasah bakat terpendam, memupuk keberanian dan menyuntik semangat serta keyakinan diri. Terpancar keceriaan pada wajah mereka apabila membawa pulang ole ole berupa hadiah kemenangan.
Zon riang ria menampilkan acara permainan suppa doopa, senam robik, sand art, splash battle dan Escape room.
Di pentas utama, pengunjung turut disajikan aksi bertenaga dan keberanian daripada pasukan cilik taekwondo, silat Gayong Harimau Kumbang SRIAACS dan pasukan BASED Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS). Kelincahan gerak geri dan ketangkasan yang ditonjolkan oleh setiap ahli cukup mendebarkan hati termasuk mendapat tepukan gemuruh daripada pengunjung.
Selain itu program diserikan dengan persembahan istimewa daripada Kelab Teater SRIAACS menerusi drama bertajuk Reban membuatkan pengunjung terpaku dan tidak berganjak dari tempat duduk.
Kaunter jualan minyak masak terpakai turut disediakan bagi membolehkan pengunjung menukar minyak kepada imbuhan wang tunai. Sebanyak 101 kg minyak berjaya dikumpulkan untuk tujuan kebajikan.
Program diibaratkan mini karnival merupakan salah satu platform terbaik mengajak dan mengajar minat murid bukan sekadar hadir memeriahkan suasana tetapi berperanan sebagai pengendali gerai, peserta pertandingan dan peneroka aktiviti yang disediakan.
Pada masa sama memberi pengalaman berharga dalam konteks keusahawanan dan kemahiran hidup yang sebenar melalui pengurusan pelaksanaan gerai dan pertandingan.
Hari Kokurikulum ( HKK’26 ) secara keseluruhannya berjaya dilaksanakan dengan baik dan memberi impak positif kepada murid. Program ini bukan sahaja menyeronokkan, malah bermakna dari segi pembangunan kemahiran dan nilai murni murid.
Berdasarkan sambutan ini, selepas ini pihak sekolah tidak akan menolak kemungkinan untuk merangka pelan strategi dan beberapa cadangan penambahbaikan untuk program ini.
Ini termasuklah mewujudkan booth atau sesi khas Persatuan ibubapa dan guru ( PIBG ) dan mengenengahkan murid sebagai pengacara majlis.
Secara keseluruhannya, penganjuran program Hari Kokurikulum 2026 mendapat sambutan luar biasa dan berjaya dari segi objektif dan pengurusan majlis. Rata-rata pengunjung berpuas hati.
Harapan jangka masa panjang agar HKK’26 sebagai acara tahunan yang lebih gah.-UTUSAN










