Yuran pendaftaran, USIM jamin tiada pelajar baharu tercicir

Yuran pendaftaran, USIM jamin tiada pelajar baharu tercicir

MUSHADDAD HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memberi jaminan pelajar baharu tetap boleh mendaftar walaupun berdepan kekangan membayar yuran pendaftaran.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah berkata, USIM komited memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan, khususnya bagi kemasukan sesi akademik 2026/2027.

Mushaddad berkata, USIM sentiasa membuka ruang perbincangan kepada pelajar dan keluarga yang menghadapi masalah kewangan melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).

“Pendidikan adalah hak semua, bukan keistimewaan untuk mereka yang berkemampuan sahaja.

“Di USIM, kami percaya tiada anak yang harus tercicir daripada menuntut ilmu hanya kerana kekangan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tanggapan bahawa pelajar yang tidak mampu menjelaskan yuran pendaftaran tidak dibenarkan mendaftar atau memasuki USIM.

Mushaddad berkata, dakwaan itu tidak tepat dan tidak menggambarkan pendirian sebenar USIM yang mengutamakan akses pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, pelajar dan ibu bapa yang menghadapi masalah pembayaran yuran atau keperluan kebajikan perlu segera berhubung dengan HEPA bagi membolehkan bantuan bersesuaian diusahakan.

“Selagi ada usaha dan harapan, kami akan bersama-sama mencari jalan,” katanya.

Dalam usaha memastikan tiada pelajar tercicir, USIM menyediakan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah payung Santun Siswa USIM.

Antaranya pinjaman kecemasan sehingga RM500 tanpa penjamin dan cagaran, sumbangan kebajikan, skim perlindungan pelajar, skim perkhidmatan kesihatan pelajar, Food Bank Siswa, Food Bank Asnaf serta Central Kitchen yang menyediakan pek makanan percuma.

Selain itu, USIM turut menyediakan sumbangan zakat dan infaq kepada pelajar layak, Dapur Siswa Madani, Menu Kasih Siswa serta peluang kerja dalam kampus melalui program Pembantu Urus Setia, Pembantu Pentadbiran dan MySiswa Job on Campus (JoC).

Mushaddad berkata, pendekatan itu membuktikan USIM bukan hanya memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, malah memastikan kebajikan pelajar dipelihara secara menyeluruh.

Katanya, universiti turut menyeru pelajar dan ibu bapa supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat, sebaliknya merujuk terus kepada pihak universiti bagi mendapatkan penjelasan.

“Tiada siapa patut dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan hanya kerana tidak mampu membayar pada saat pertama melangkah ke universiti.

“Di USIM, kami memilih untuk membantu, bukan menghukum, mencari penyelesaian, bukan menyisihkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN