JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan pengabaian kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan parah, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, ibu kepada dua anak yang terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di kawasan Tampoi, di sini itu bagaimanapun dibenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000.
Bagaimanapun, katanya, wanita berkenaan tidak membayar ikat jamin tersebut dan diperintahkan menjalani hukuman penjara sehingga tarikh sebutan semula kes.
“Semalam, wanita berusia 47 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 7 Jun itu, salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah. – UTUSAN










