Wajibkan tempoh minimum daki gunung - Utusan Malaysia

Wajibkan tempoh minimum daki gunung

SAYANI SAIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sudah tiba untuk peraturan khusus bagi aktiviti pendakian gunung seperti penetapan tempoh minimum pendakian berdasarkan ketinggian gunung dikuatkuasakan di semua negeri.

Langkah itu penting bagi mengawal trend pendaki yang mengejar compress hike atau pendakian singkat yang lazimnya mengabaikan aspek keselamatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, beberapa negeri telah menetapkan garis panduan tertentu melalui Jabatan Perhutanan yang mengehadkan tempoh pendakian mengikut tahap kesukaran dan ketinggian gunung.

“Bagi ketinggian gunung yang melebihi 1,500 meter, pendaki mungkin perlu menghabiskan dalam tempoh tiga hari dua malam manakala gunung melebihi 2,000 meter, mereka perlukan lima hari empat malam.

“Pendaki tidak sepatutnya dibenarkan melakukan compress hike sesuka hati kerana setiap gunung mempunyai tahap cabaran dan risiko berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sayani berkata, penguatkuasaan tempoh minimum pendakian mampu mengurangkan insiden keletihan melampau, kecederaan dan insiden yang mengancam nyawa pendaki.

Katanya, peraturan itu juga memudahkan pemantauan pihak berkuasa terhadap aktiviti pendakian di kawasan hutan simpan dan gunung.

“Sudah tiba masanya peraturan seperti itu dikuatkuasakan bagi mengelakkan aktiviti compress hike yang boleh menyebabkan banyak kecederaan dan perkara yang tidak diingini berlaku kepada pendaki,” katanya.

Sayani berpandangan, gunung yang melebihi ketinggian 1,800 meter tidak sesuai untuk aktiviti compress hike kerana memerlukan tempoh pendakian lebih panjang dan rehat mencukupi.

Katanya, trend memendekkan tempoh pendakian daripada empat ke lima hari kepada hanya satu hari dilihat semakin membimbangkan.

“Bagi gunung di bawah 1,300 hingga 1,500 meter, aktiviti compress hike atau day hike masih boleh dipertimbangkan.

“Namun bagi ketinggian melebihi 1,800 meter, pendaki disaran untuk berkhemah kerana ia memerlukan persediaan lengkap termasuk makanan, peralatan keselamatan dan sokongan komunikasi,” katanya.

Dalam pada itu, Sayani berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih di sini bukan sahaja menguji ketahanan pasukan penyelamat, malah menelan hampir RM50,000 kos bahan api bagi operasi udara.

Beliau berkata, kos berkenaan direkodkan sepanjang lapan hari operasi dari 25 Mei hingga 1 Jun lalu.

Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 29 sortie (keluaran) dengan keseluruhan 30 jam penerbangan menggunakan pesawat AW139 dan Mi-17-IV telah dilaksanakan bagi membantu usaha mencari mangsa.

“Sebanyak 16,890 liter bahan api jenis Jet A1 digunakan sepanjang operasi itu, membabitkan kos sebanyak RM49,149.90.

“Kos tersebut hanya merangkumi penggunaan bahan api bagi 30 jam penerbangan dan tidak mengambil kira kos keseluruhan operasi SAR,” katanya.

Menurut Sayani, penggunaan aset udara menjadi keperluan dalam operasi itu berikutan faktor jarak, bentuk muka bumi yang mencabar dan ketinggian kawasan pencarian melebihi 2,000 meter.

Katanya, faktor stamina dan kemampuan fizikal anggota penyelamat yang berbeza, selain risiko kecederaan ketika operasi, antara sebab penggunaan aset helikopter diperlukan bagi mempercepatkan pergerakan pasukan.

“Kalau kita bermula dari bawah contohnya di kaki bukit, untuk sampai ke puncak Gunung Batu Putih mengambil masa kira-kira 13 jam untuk satu hala, belum lagi berpatah balik.

“Jadi, helikopter digunakan dalam operasi ini yang pertamanya untuk mengeluarkan pendaki lelaki yang cedera dan menurunkan anggota penyelamat dalam operasi mencari Jaslinda,” katanya.

Sayani berkata, walaupun kos yang ditanggung adalah tinggi, aspek menyelamatkan nyawa tetap menjadi keutamaan dan segala sumber yang diperlukan akan digerakkan bagi memastikan usaha pencarian dapat diteruskan.

Beliau menasihatkan orang ramai yang gemar melakukan aktiviti pendakian dan rekreasi lasak agar lebih bertanggungjawab dan membuat persediaan secukupnya sebelum memulakan ekspedisi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN