SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melancarkan kereta lumba Formula SAE, Putra2, yang dibangunkan pelajarnya bagi mewakili Malaysia ke pertandingan Student Formula Japan 2026 di Aichi Sky Expo, Jepun pada 2 hingga 7 Ogos ini.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, penyertaan itu mencerminkan keupayaan universiti melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menghasilkan inovasi bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, Putra2 turut membuktikan pelajar berupaya menterjemahkan ilmu kejuruteraan kepada penyelesaian sebenar yang memberi nilai kepada industri dan masyarakat.
“Di UPM, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik tetapi melalui keupayaan pelajar menghasilkan penyelesaian sebenar yang memberi nilai kepada industri dan masyarakat.
“Putra2 membuktikan bahawa pelajar bukan sekadar mempelajari kejuruteraan, tetapi membina teknologi dan mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya semasa majlis pelancaran Putra2 di sini hari ini.
Dalam pada itu,penasihat Putra Motorsport Team, Prof. Ir. Dr. Mohd. Khairol Anuar Mohd. Ariffin berkata, penyertaan kali keempat pasukan itu dalam Formula SAE Japan membuktikan kemampuan pelajar tempatan menghasilkan inovasi yang memenuhi standard pertandingan kejuruteraan bertaraf dunia.
Katanya, Putra2 menjadi platform pembelajaran yang membolehkan pelajar menguasai kemahiran teknikal, kepimpinan, komunikasi dan membuat keputusan dalam situasi sebenar industri.
Putra2 dibangunkan dalam tempoh 13 bulan bermula Julai tahun lalu oleh 73 pelajar dengan bimbingan 10 penasihat akademik dan lima kakitangan teknikal yang terlibat dalam proses reka bentuk, simulasi, fabrikasi, pemasangan dan pengujian.
“Kereta lumba itu menggunakan casis keluli chromoly, badan gentian karbon komposit, sistem suspensi pushrod serta dikuasakan enjin CFMOTO 700MT berkapasiti 693cc yang menghasilkan 72 kuasa kuda dan 61Nm tork mengikut spesifikasi Formula SAE.
“Dengan kos pembangunan RM118,787.12, projek ini direalisasikan melalui kerjasama universiti dan industri membabitkan Embun Karisma Resources (M) Sdn. Bhd., Ranhill Berhad dan CFMOTO (Sunlight Power Sdn. Bhd.) sebagai penaja,” katanya. – UTUSAN










