KOTA KINABALU: Penerimaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ke dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mampu membangunkan masa depan negeri ini berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor atas penerimaan permohonan untuk menyertai gabungan politik terbabit.
“Semalam saya dimaklumkan penerimaan rasmi UPKO sebagai parti komponen GRS iaitu gabungan parti-parti politik tempatan Sabah.
“Saya ucap terima kasih kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan semua anggota Majlis Tertinggi GRS yang menerima keanggotaan UPKO susulan permohonan kami pada 29 Mei lepas.
“Sebagai Presiden UPKO, saya sukacita dapat membawa UPKO ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah.
“Ini mengembalikan semangat asal penubuhan negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di mana parti-parti politik Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu mempunyai gabungan wilayah masing-masing dan menandatangani perjanjian menubuhkan negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ewon berkata, hanya parti-parti tempatan Sabah yang memahami citra Sabah dalam membangun masa depannya melalui apa yang telah dipersetujui dalam MA63.
“GRS adalah satu-satunya gabungan parti tempatan Sabah, maka sepatutnya inilah rumah sebenar parti politik dari Sabah.
“UPKO akan menyumbang kepada pengukuhan dan pemerkasaan GRS bagi memimpin, mentadbir dan membangunkan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Semalam, Hajiji mengumumkan pihaknya secara sebulat suara menerima UPKO untuk menyertai GRS.-UTUSAN









