UMNO Johor gagal jawab isu sebenar – Mahfuz Omar

UMNO Johor gagal jawab isu sebenar – Mahfuz Omar

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO Johor didakwa gagal menjawab persoalan sebenar berhubung tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengaitkan Institusi Diraja ketika menjawab teguran politik Perdana Menteri.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Ketua Penerangan UMNO Johor, Md. Israk Abdullah pada 18 Jun lalu sebaliknya memilih menyerangnya sebagai ‘orang luar’ yang tidak memahami budaya negeri itu.

Katanya, persoalan yang dibangkitkan adalah mengapa nama dan peranan Institusi Diraja Johor perlu disebut ketika Onn Hafiz menjawab teguran Perdana Menteri berkaitan politik serta hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO Johor gagal menjawab persoalan tersebut. Sebaliknya, mereka memilih untuk menyerang saya sebagai ‘orang luar Johor’, mendakwa saya tidak memahami budaya Johor dan cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar.

“Ini menunjukkan UMNO Johor sendiri tidak mempunyai jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Onn Hafiz yang menegaskan dia hanya menjalankan tanggungjawab kepada institusi diraja serta memelihara kesejahteraan rakyat bagi menepis dakwaan bersikap sombong.
Mahfuz tidak pernah mempertikaikan Institusi Diraja Johor, sebaliknya menghormati Sultan Johor dan seluruh Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, peranan besar institusi berkenaan dalam menjaga kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan rakyat juga sentiasa diiktiraf.

Namun, katanya, institusi yang mempunyai martabat tinggi tidak sepatutnya dibawa ke dalam polemik politik kepartian.

“Apa yang saya persoalkan ialah tindakan ahli politik yang memilih untuk mengaitkan institusi diraja ketika menjawab kritikan politik terhadap dirinya.

“Adakah Menteri Besar Johor tidak mampu menjawab kritikan Perdana Menteri berdasarkan rekod pentadbiran, prestasi kerajaan negeri dan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan?” katanya.

Mahfuz berkata, kenyataan UMNO Johor tidak menyentuh isu dibangkitkan Perdana Menteri mengenai sikap, hubungan dan kerjasama politik.

Katanya, UMNO Johor mempertahankan Menteri Besar daripada pelbagai sudut, kecuali perkara yang sedang dipersoalkan.

Beliau berkata, menghormati Institusi Diraja dan menggunakan sentimen penghormatan terhadap institusi itu bagi menutup perbahasan politik merupakan dua perkara berbeza.

“Jika UMNO Johor benar-benar mahu mempertahankan Menteri Besar Johor, jawablah persoalan yang dibangkitkan.

“Jangan lari daripada isu, jangan tukar tajuk perbahasan dan jangan jadikan sentimen Johor atau Institusi Diraja sebagai alasan untuk mengelakkan diri daripada menjawab persoalan politik yang sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN