KOTA KINABALU: Umat Islam di Sabah diseru melakukan penghijrahan minda dan sikap dengan meninggalkan budaya menyalahkan kepada budaya menyumbang.
Mereka juga perlu mengutamakan semangat kebersamaan serta memperkukuhkan penguasaan ilmu pengetahuan demi mencapai kemajuan yang lebih cemerlang.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, semangat hijrah yang dipelopori Nabi Muhammad SAW perlu terus dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat Islam masa kini, khususnya ketika berdepan cabaran dunia moden yang semakin kompleks.
Katanya, peristiwa Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat, sebaliknya menjadi titik perubahan besar yang membawa kepada pembentukan masyarakat Islam progresif, bersatu padu, berdisiplin dan berakhlak mulia.
“Umat Islam mesti berhijrah daripada budaya menyalahkan kepada budaya menyumbang, daripada sikap mementingkan diri kepada sikap kebersamaan serta daripada kelemahan ilmu kepada kecemerlangan pengetahuan.
“Inilah roh hijrah yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2026M/1448H di Wisma Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Musa berkata, hijrah bukan sekadar catatan sejarah yang diperingati setiap kali tibanya tahun baharu Islam.
Sebaliknya ia merupakan perjalanan jiwa yang mengajar manusia bahawa setiap perubahan besar bermula dengan keberanian meninggalkan amalan atau perbuatan yang menghalang kemajuan.
“Sebagaimana Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah demi mempertahankan akidah dan membina tamadun Islam yang gemilang, umat Islam hari ini juga dituntut berhijrah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada perpecahan kepada persaudaraan serta daripada kelalaian kepada ketaatan kepada Allah SWT.
“Peristiwa Hijrah juga memberikan pengajaran bahawa kejayaan bukan lahir daripada keselesaan, tetapi daripada pengorbanan, kesabaran dan keyakinan terhadap pertolongan Allah SWT,” katanya. – UTUSAN










