PETALING JAYA: Sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya memperoleh geran penyelidikan antarabangsa bernilai £1.8 juta (RM10.3 juta) bagi menjalankan kajian berkaitan isu hutan bakau, iklim dan kesihatan.
Kajian bertajuk Mangrove Conservation for Planetary Health: Quantifying Climate, Health and Socioeconomic Impacts in Protected Mangrove Ecosystems dibiayai menerusi geran Wellcome Trust, organisasi penyelidikan kesihatan global berpangkalan di United Kingdom (UK).
Pasukan penyelidik diketuai Dr. Nur Hazlin Hazrin Chong daripada Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, akan menjalankan kajian berkenaan penyelesaian isu iklim dan kesihatan di negara membangun yang berpotensi memberi impak besar di peringkat global.
Dr. Nur Hazlin berkata, kajian memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu iklim dan persekitaran, kesihatan awam serta kesejahteraan sosioekonomi komuniti berhampiran kawasan hutan bakau terlindung.
Beliau berkata, hutan bakau penting kerana mampu menyimpan karbon dalam jumlah tinggi.
“Hutan bakau juga berperanan sebagai benteng semula jadi yang melindungi komuniti pesisir daripada kesan bencana alam, selain menyokong sumber pendapatan masyarakat setempat.
“Namun, manfaat hutan bakau terhadap iklim, kesihatan dan komuniti masih perlu difahami dan diukur dengan lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Dr. Nur Hazlin berkata, kajian akan melihat hubungan antara pemuliharaan hutan bakau dengan kesihatan planet secara lebih menyeluruh.
Katanya, pasukan penyelidik projek merangkumi pakar sains iklim dan persekitaran, kesihatan awam, mikrobiologi, ekologi, sosiologi serta antropologi.
“Kajian ini tidak melihat isu iklim dan kesihatan sebagai dua perkara berasingan, sebaliknya sebagai satu sistem yang saling berkait.
“Pendekatan ini membolehkan penyelidik menilai penyimpanan karbon, pendedahan kepada pencemaran dan risiko penyakit, perlindungan kawasan pesisir serta daya tahan komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata, projek turut melatih penyelidik muda, juruteknik lapangan, pengurus projek dan pelajar dalam kaedah penyelidikan rentas disiplin berasaskan penglibatan komuniti.
“Data, peta dan analisis yang dijana melalui projek ini dijangka dapat menyokong perancangan dasar berkaitan adaptasi iklim, pemuliharaan ekosistem dan kesihatan awam,” katanya. – UTUSAN










