KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas yang bergantung kepada kerusi roda akibat penyakit saraf antara tiga beranak ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam Op Perdana di Besut, semalam.
Pengarah AADK Terengganu, Arzmi Abdullah berkata, lelaki berusia 66 tahun itu ditahan bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 30 tahun 39 tahun dalam operasi yang dijalankan di daerah tersebut.
Kata beliau, hasil saringan air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif methamphetamine.
“Warga emas itu terjebak dengan penagihan dadah sejak 36 tahun lalu dan pernah menjadi Orang Kena Pengawasan (OKP) pada 2012. Dia kini menghidap penyakit saraf sehingga memerlukan penggunaan kerusi roda dan tongkat untuk bergerak selain perlu memakai lampin pakai buang,” katanya ketika media pada Op Perdana AADK Terengganu, hari ini.
Beliau berkata, anak kelima warga emas itu yang berusia 39 tahun pula telah menagih selama 19 tahun dan pernah menjalani rawatan serta pemulihan di Pusat Serenti Benta.
“Anak lelaki itu juga dilaporkan menghidap penyakit jantung dan tidak bekerja. Seorang lagi anaknya yang berusia 30 tahun bekerja sebagai penternak lembu dan dipercayai mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah sejak empat tahun lalu,” katanya.
Menurut Arzmi, daripada tiga beranak tersebut, seorang direman bagi membantu siasatan manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan.
Sementara itu, beliau berkata, AADK turut menahan seorang wanita berusia 31 tahun yang juga ibu kepada lapan cahaya mata di Dungun selepas didapati positif methamphetamine.
Katanya, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu mengaku mula mengambil pil kuda sejak lima tahun lalu bagi menghilangkan kesakitan dan tekanan akibat sering dipukul suaminya yang juga seorang penagih serta warga Filipina.
“Hasil siasatan mendapati wanita itu mempunyai lapan anak dengan yang bongsu berusia lapan bulan manakala yang sulung berumur 13 tahun. Kes-kes seperti ini menunjukkan penyalahgunaan dadah bukan sahaja memusnahkan individu, malah turut memberi kesan mendalam terhadap institusi keluarga dan masa depan anak-anak,” katanya.
Dalam operasi itu, seramai 232 individu berusia 17 tahun hingga 66 tahun ditahan dalam Operasi Perdana yang dijalankan selama tiga hari bermula 3 Jun lalu termasuk membongkar sebuah lokasi baharu aktiviti penagihan dan transaksi dadah dikenali sebagai ‘Port Pekat Bayu’ di Dungun.
“Siasatan mendapati kawasan itu aktif sebagai tempat berkumpul dan transit jual beli pil kuda bermula pukul 7 pagi hingga 2 petang sebelum kembali aktif antara pukul 5 petang hingga 8 malam.
“Pil kuda yang dikenali dengan panggilan jalanan ‘buah’ atau ‘buoh’ dalam loghat Terengganu didapati menjadi bekalan harian kepada penagih, malah diambil sebelum mereka keluar bekerja dan selepas pulang ke rumah,” katanya. – UTUSAN










