PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) perlu menerima realiti bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan komponen sedia ada dalam Perikatan Nasional (PN) sekiranya parti itu benar-benar berhasrat untuk menyertai gabungan berkenaan.
Ketua Bahagian Bersatu Jerlun, Mohd Ashraf Mustagim berkata, mana-mana pihak yang mahu bersama PN tidak boleh pada masa sama mempertikaikan kedudukan atau menyerang parti yang telah lama berada dalam gabungan tersebut.
Beliau berkata, Bersatu tidak mempunyai hak untuk menghalang kemasukan Parti Wawasan ke dalam PN sekiranya perkara itu dipersetujui oleh kepimpinan gabungan berkenaan, namun sikap saling menghormati perlu menjadi asas kepada sebarang kerjasama politik.
“Kita kena terbuka. Jika mereka mahu kita terbuka menerima mereka, mereka juga harus menerima Bersatu kembali. Kalau hari-hari menyerang, ia tidak akan menyelesaikan masalah.
“Jika Datuk Seri Hamzah hari ini merasakan kami adalah musuh utama, bagaimana beliau mahu bersama dalam Perikatan Nasional? Itulah yang kami maksudkan sebelum ini.
“Tidak wajar untuk beliau pada masa yang sama menolak kehadiran kami dengan membuat pelbagai kenyataan dan dakwaan seolah-olah kami tidak sepatutnya berada dalam PN.
“Kami sudah pun berada dalam PN. Jika beliau mahu bersama dalam gabungan ini, maka beliau perlu menerima realiti dan kedudukan parti-parti yang sedia ada dalam PN,” katanya pada sidang akhbar Tergempar ADUN-ADUN, Ketua Bahagian serta Pimpinan Bahagian dalam kalangan orang muda Bersatu di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Bersatu akan menghormati sebarang keputusan yang dibuat secara demokrasi berhubung kemasukan Parti Wawasan ke dalam PN.
“Kita tiada hak untuk menolak kemasukan Wawasan ke dalam PN. Kita hidup dalam dunia demokrasi dan demokrasi adalah suara majoriti. Jika itu yang dipersetujui, mungkin itulah keputusan akhirnya.
“Sekiranya takdir menentukan Wawasan bersama kita dalam PN, perkara itu sudah berlaku dan Bersatu tetap akan berada dalam PN,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap Bersatu memandangkan kedua-dua parti itu berada dalam gabungan PN.
Beliau berkata, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan terlebih dulu sebelum menentukan sama ada Bersatu wajar dianggap sebagai rakan atau seteru dalam gabungan berkenaan.
“Kalau dianggap sebagai seteru, maka berseterulah kami. Sebab itu sekarang saya sedang melihat segala kenyataan yang mereka keluarkan,”katanya. – UTUSAN










