Tealive, Dutch Lady perkenal minuman teh tenusu sedia diminum - Utusan Malaysia

Tealive, Dutch Lady perkenal minuman teh tenusu sedia diminum

Steven Sim Chee Keong (dua kanan) bersama Bryan Loo (kiri) dan Veronika Utami (kanan) selepas Majlis Pelancaran Minuman Teh Sedia Diminum (RTD) antara Tealive dan Dutch Lady di Sunway Pyramid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tealive dan Dutch Lady Malaysia menjalin kerjasama strategik menerusi pelancaran rangkaian minuman tenusu berperisa teh sedia diminum (RTD) iaitu iaitu MooTea (Signature Milk Tea) dan MeowCha (Signature Matcha).

Kerjasama itu menggabungkan kepakaran Tealive dalam segmen minuman gaya hidup dengan pengalaman Dutch Lady dalam industri tenusu bagi memenuhi permintaan pengguna terhadap minuman ala kafe yang praktikal dan sesuai dengan gaya hidup moden.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, Tealive terus meneroka peluang untuk memperluaskan akses kepada produk keluarannya di luar rangkaian kafe sejajar dengan perubahan cita rasa dan gaya hidup pengguna.

Menurutnya, penglibatan syarikat dalam segmen barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) sejak setahun lalu memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai corak pembelian dan penggunaan pengguna merentasi pelbagai saluran peruncitan.

“Perkembangan ini mengukuhkan keyakinan kami untuk mengembangkan perniagaan melangkaui rangkaian premis sedia ada.

“Berbanding pembukaan cawangan baharu, produk FMCG dan RTD membolehkan Tealive menjangkau lebih ramai pengguna menerusi rangkaian peruncitan sedia ada, termasuk di kawasan yang kurang sesuai untuk pembukaan premis baharu.

“Ia juga sebahagian daripada strategi jangka panjang Tealive untuk berkembang sebagai jenama gaya hidup yang lebih menyeluruh.

“Menerusi kerjasama dengan Dutch Lady, kami membawakan antara perisa paling digemari pengguna dalam format yang boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya pada majlis pelancaran produk itu di sini, semalam.

Majlis pelancaran produk tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Veronika Utami berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk terus berinovasi dalam memperluaskan penggunaan produk tenusu dalam kehidupan harian pengguna.

Katanya, kerjasama itu turut memperkukuh kedudukan Dutch Lady dalam segmen luar rumah yang berkembang pesat, selain membuka peluang baharu untuk memperluaskan penggunaan produk tenusu di luar kaedah penggunaan tradisional.

“Gandingan ini menggabungkan khasiat tenusu yang dipercayai dengan perisa kegemaran ramai dalam format minuman yang sesuai dengan gaya hidup masa kini.

“Melalui gabungan kepakaran tenusu Dutch Lady dan inovasi minuman Tealive, kami dapat menawarkan produk yang bukan sahaja mudah dinikmati, malah memenuhi keperluan nutrisi pengguna,” katanya.

Produk tersebut dihasilkan di kilang Dutch Lady di Bandar Enstek yang memanfaatkan kapasiti pengeluaran tempatan serta menyokong pertumbuhan pasaran minuman tenusu sedia diminum negara.

MooTea dan MeowCha kini boleh didapati di seluruh negara menerusi rangkaian peruncitan utama termasuk Jaya Grocer, lebih 3,000 cawangan 99 Speedmart serta pelbagai pasar raya dan kedai serbaneka lain. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN