KUALA LUMPUR: Inisiatif BSN TeachersCard hasil kerjasama strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) terus diperkukuh bagi menjaga kebajikan warga pendidik menerusi pelbagai manfaat kewangan dan ganjaran eksklusif.
Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah berkata, BSN TeachersCard diperkenalkan khusus untuk guru dan warga pendidikan sejak 2013 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam membentuk modal insan negara sejak dahulu hingga kini.
Abdul Muie berkata, kad tersebut dilancarkan sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan 2013 dan ditawarkan secara eksklusif kepada warga pendidikan. Kini, YGMB mengambil langkah proaktif untuk memperbaharui kerjasama strategik bersama BSN dengan manfaat yang lebih menarik.
“Kerjasama antara BSN dan YGMB turut bertujuan memperkasakan aspek kebajikan guru melalui pelbagai insentif kewangan, di samping membantu mengukuhkan dana kebajikan warga pendidik,” katanya.
Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, sebagai rakan strategik YGMB, pihaknya berbesar hati untuk terus menyokong penawaran BSN TeachersCard
“BSN TeachersCard adalah kad khusus yang direka secara eksklusif untuk kegunaan warga pendidikan. Kerjasama ini mencerminkan komitmen BSN dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang inklusif, di samping mengiktiraf peranan penting para pendidik dalam membentuk masa depan negara,” katanya.
Antara kelebihan BSN TeachersCard ialah ganjaran BSN Happy Rewards, kemudahan pelan ansuran serta perlindungan kemalangan perjalanan kepada pemegang kad yang layak.
Selain itu, setiap transaksi runcit yang dilakukan menggunakan kad berkenaan turut menyumbang kepada YGMB, sekali gus membantu yayasan itu melaksanakan pelbagai program kebajikan dan bantuan kepada guru di seluruh negara.
Golongan yang layak memohon BSN TeachersCard termasuk guru dan kakitangan Kementerian Pendidikan, pensyarah institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diluluskan serta guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, ramai golongan pendidik sebenarnya telah menerima pelbagai kelebihan apabila memilih untuk menggunakan BSN TeachersCard dalam urusan harian.
“YGMB telah memperbaharui kerjasama dengan BSN bagi membolehkan warga pendidik terus menikmati manfaat. Dalam konteks ini, kita melihatnya sebagai satu bentuk kebajikan kepada guru. Konsep kebajikan ini luas, termasuk dalam aspek pengurusan kewangan.
“Kita semua dinasihatkan supaya berbelanja secara berhemah ketika ekonomi tidak menentu dan ini merupakan salah satu caranya kerana BSN TeachersCard menawarkan keistimewaan yang berbeza berbanding kad kredit lain.
“Kebanyakan kad kredit mengenakan kadar keuntungan sehingga 18 peratus setahun, tetapi BSN TeachersCard pula ditawarkan secara eksklusif kepada guru dengan kadar tahunan serendah 8.88 peratus setahun.
“Namun, kita tidak mahu warga pendidik salah faham tentang penggunaan kad kredit. Kita tidak menggalakkan guru berhutang, sebaliknya ia merupakan salah satu aspek pengurusan kewangan yang baik,” katanya.-UTUSAN










