Tanding 36 kerusi DUN Negeri Sembilan bukan tindakan angkuh - UMNO

Tanding 36 kerusi DUN Negeri Sembilan bukan tindakan angkuh – UMNO

Mustapha Nagoor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan UMNO Negeri Sembilan untuk bersedia bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bukan tindakan angkuh atau mendabik dada.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook sendiri mengumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) bahawa PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN.

Katanya, sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO juga bersedia menawarkan pilihan kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku di negeri ini.

“Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak cuba meletakkan sepenuhnya tanggungjawab krisis Negeri Sembilan di atas bahu UMNO. Namun hakikatnya, tuduhan tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“UMNO Negeri Sembilan sejak awal lagi telah memberi peringatan bahawa krisis ini berpunca daripada kegagalan Menteri Besar mengurus dan menyelesaikan isu yang timbul secara berkesan sehingga kemuliaan dan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta pemerintah bersama diperdebatkan secara terbuka oleh semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar pada 27 April lalu, pelbagai nasihat dan pandangan telah diberikan agar tindakan segera diambil bagi mengelakkan krisis ini menjadi semakin parah.

“Malangnya, segala peringatan tersebut tidak diendahkan,” ujarnya.

Mustapha menarik perhatian, sepanjang 60 tahun UMNO memerintah negeri ini, krisis adat pernah berlaku tetapi tidak sebesar seperti yang berlaku sekarang sehingga berlaku kejadian-kejadian yang dilihat memalukan institusi raja, Undang serta Adat Perpatih di Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN