Tamat kerjasama dengan Bersatu dibuat atas prinsip, kepentingan ummah

Tamat kerjasama dengan Bersatu dibuat atas prinsip, kepentingan ummah

MOHD. ZAMRI MOHD. ZAINULDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penamatan kerjasama politik antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat atas prinsip, dasar dan kepentingan ummah yang mengatasi pertimbangan politik bersifat sementara.

Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin menyokong ketetapan diputuskan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berhubung hala tuju kerjasama dengan Bersatu.

Katanya, keputusan dibuat adalah hasil penelitian mendalam serta berpandukan pertimbangan syarak, maslahah semasa dan kepentingan perjuangan Islam seperti diperakukan oleh Majlis Syura Ulama sebelum ini.

“Sebagai sebuah gerakan Islam yang meletakkan al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qias sebagai sumber rujukan tertinggi, Pas sentiasa mendahulukan prinsip, dasar dan kepentingan ummah mengatasi pertimbangan politik yang bersifat sementara.

“Dewan Ulama Pas Selangor berpandangan bahawa keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu adalah suatu ketetapan yang dibuat melalui proses syura yang matang, berlandaskan penilaian menyeluruh terhadap perkembangan politik semasa serta mengambil kira maslahat perjuangan Islam dan penyatuan ummah dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong itu berkata, pihaknya juga menyambut baik usaha Pas Pusat untuk meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu demi memperkukuhkan agenda penyatuan ummah.

Katanya, pendekatan itu membuktikan bahawa Pas kekal konsisten menjadi jambatan penyatuan masyarakat serta mengutamakan kestabilan politik yang berpaksikan nilai Islam.

“Kami juga mengalu-alukan hasrat pelbagai tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk bersama Pas.

“Perkembangan ini menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap perjuangan Pas sebagai wadah politik Islam yang istiqamah, berprinsip dan menawarkan penyelesaian kepada pelbagai cabaran negara,” katanya.

Beliau berkata, seluruh ahli Pas di semua peringkat perlu menerima keputusan parti dengan disiplin berjemaah untuk taat dan walak serta terus memperkukuhkan gerak kerja dakwah, tarbiah dan siasah bagi menghadapi cabaran politik yang mendatang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN