PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menyalurkan RM115,000 yang diperoleh menerusi kerja sambilan terbaharunya bagi membantu penduduk di kawasan berkenaan.
Syed Saddiq berkata, hasil pendapatan daripada penggambaran tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk membeli 1,000 bakul makanan dan 30 komputer riba bagi golongan memerlukan di Muar.
“Saya dapat kerja sambilan penggambaran baharu lagi. Saya akan sumbangkan terus RM115,000 kepada Muar untuk beli 1,000 bakul makanan dan 30 laptop,” katanya dalam hantaran Facebook.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut berkongsi barangan yang dibeli menerusi dana berkenaan sambil berseloroh mengenai rutin hariannya yang perlu membahagikan masa antara tugas sebagai wakil rakyat dan kerja sambilan.
“Dari pagi sampai petang di Parlimen, malam sambung kerja sambilan,” katanya.
Perkongsian tersebut dibuat ketika inisiatif kutipan dana dan penggunaan media sosial oleh wakil rakyat itu terus menjadi perhatian orang ramai.
Syed Saddiq sebelum ini aktif menjalinkan kerjasama dengan selebriti serta pelbagai jenama menerusi kempen kutipan dana bagi membiayai program kemasyarakatan di kawasan Parlimen Muar. – UTUSAN









