PETALING JAYA: Seorang suspek warga asing yang menjadi buruan antarabangsa kerana disyaki mendalangi serangan bom di negara asalnya masih berada dalam tahanan polis.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu.
“Setakat ini, suspek masih berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“JIM akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya suspek diserahkan kepada jabatan ini,” katanya.
Sebelum ini, suspek dikehendaki oleh pihak berkuasa India berhubung insiden letupan bom jenis Peranti Letupan Rekaan (IED) yang menyasarkan landasan kereta api utama pada akhir April lalu.
Difahamkan, serangan itu menjejaskan laluan logistik komersial yang kritikal serta mencetuskan ancaman keselamatan nasional tinggi di negara berkenaan.
Sejurus selepas agensi keselamatan India memulakan operasi memburu dalang suspek dikesan bertindak melarikan diri ke luar negara dengan menggunakan identiti palsu.
Suspek dipercayai menyusup masuk ke Malaysia pada penghujung April dan menyembunyikan diri di sekitar kawasan Lembah Klang bagi mengelak daripada dikesan. – UTUSAN










