Suami yakin Jaslinda masih hidup - Utusan Malaysia

Suami yakin Jaslinda masih hidup

HASZMAN Othman (kiri) bersama kakak dan abang Jaslinda Saludin ketika ditemui di Tapah, Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Suami kepada Jaslinda Saludin, pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu, yakin isterinya masih hidup meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari ke-12 semalam.

Haszman Othman, 61, turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkuasa serta pasukan keselamatan yang masih bertungkus-lumus meneruskan usaha mencari isterinya.

Katanya, walaupun operasi SAR hanya dijalankan dalam skala kecil melibatkan anggota bomba, malim gunung dan komuniti Orang Asli setempat, ia sudah memadai buat keluarganya.

“Saya bersyukur dan sangat lega apabila pencarian isteri saya diteruskan walaupun dalam skala kecil. Kami amat berterima kasih kerana pencarian masih diteruskan.

Walaupun berskala kecil, itu sudah memadai bagi kami. Misi pencarian ini tidak dihentikan, sebaliknya diteruskan dan kami mengharapkan ada khabar gembira mengenai Jaslinda,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Haszman menyatakan keyakinan bahawa isterinya masih berpeluang ditemukan dengan selamat.

“Kami masih yakin dia masih ada. Kalau ditakdirkan dia sudah tiada, mesti ada jejaknya. Namun sehingga sekarang, tiada apa-apa penemuan atau jejak yang menunjukkan dia sudah tiada. Sebab itu kami yakin dan masih mengharapkan dia ditemukan.

Kami akan tetap menunggu dia di sini. Firasat kami mengatakan peluang untuk menemukannya masih terbuka luas. Kami memang yakin dia masih hidup,” katanya.

Mengenai penglibatan Orang Asli dalam operasi SAR, Haszman berkata ia merupakan perkembangan positif dan seluruh keluarganya percaya komuniti itu juga yakin Jaslinda masih berpeluang ditemukan dengan selamat.

“Semua yang terlibat dalam operasi SAR tanpa mengenal penat lelah. Mereka juga mengorbankan masa mereka.

Kami berterima kasih dan amat menghargai semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR. Mereka melaksanakannya tanpa mengenal penat lelah dan turut mengorbankan masa mereka,” katanya.

Haszman turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pegawai daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerana memberikan komitmen yang sangat baik dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang operasi berlangsung.

“Bantuan mereka amat berharga kerana kami orang luar. Saya, bagi pihak keluarga, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN