STPM 2025: 116 pelajar di Perak catat semua A - Utusan Malaysia

STPM 2025: 116 pelajar di Perak catat semua A

AHMAD Faidzul Mat Yazid menunjukkan analisis keputusan STPM 2025 negeri Perak di Kompleks Pendidikan Perak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 116 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Perak memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 atau mencatatkan gred A bagi semua mata pelajaran diambil.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Ahmad Faidzul Mat Yazid berkata, jumlah itu meningkat seramai 10 orang berbanding 106 pada tahun lalu.

“Prestasi peperiksaan STPM 2025 negeri Perak turut menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri meningkat kepada 2.91 berbanding 2.85 tahun sebelumnya.

“Peningkatan sebanyak 0.06 mata itu menjadikan pencapaian STPM 2025 sebagai yang terbaik bagi semua kategori sejak sistem semester diperkenalkan pada 2013,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, peratusan calon yang memperoleh lulus penuh turut meningkat 99.15 peratus berbanding 99 peratus pada 2024.

“Daripada 2,937 calon yang mendaftar dari 58 sekolah, seramai 2,832 calon atau 96.42 peratus hadir menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2025.

“Sebanyak 44 daripada 58 sekolah mencatatkan lulus penuh 100 peratus berbanding 43 sekolah pada tahun sebelumnya,” katanya.

Katanya, Perak turut mencatat kelas tersendiri apabila 100 peratus calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.

Ahmad Faizul turut memuji pencapaian calon Orang Asli apabila tujuh daripada 17 calon berjaya memperoleh PNGK 3.00 ke atas berbanding hanya dua calon pada tahun sebelumnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN