PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat prosedur dan proses kelulusan serta memorandum persefahaman (MoU) berkaitan program pemindahan tiga ekor gajah; Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Jepun.
SPRM sedang mendapatkan keterangan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Zoo Taiping.
SPRM memaklumkan, tindakan itu dibuat selepas satu kertas siasatan dibuka berhubung isu pemindahan gajah-gajah berkenaan dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji di Osaka.
Katanya, siasatan turut memberi tumpuan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Perhilitan dan ejen yang terlibat dalam urusan pemindahan DAK.
“SPRM turut menyiasat berhubung dakwaan ketirisan tersebut serta meneliti sama ada wujud sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam urusan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM berkata, siasatan masih di peringkat awal dan dijalankan secara menyeluruh.
Katanya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Pada 18 Jun lalu, Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) menggesa SPRM menjalankan siasatan berhubung pemindahan DAK.
Mereka mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan, selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta. – UTUSAN










