Sesi bergambar Jemaah Menteri tiada kaitan pembubaran Parlimen - Fahmi

Sesi bergambar Jemaah Menteri tiada kaitan pembubaran Parlimen – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menafikan sesi bergambar Jemaah Menteri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial, tiada kaitan dengan desas-desus pembubaran Parlimen.

Sebaliknya, beliau menjelaskan sesi tersebut diadakan susulan pelantikan beberapa anggota baharu dalam Jemaah Menteri selepas rombakan Kabinet pada Disember lalu.

Menurutnya, Perdana Menteri memang sudah lama berhasrat untuk mengadakan sesi bergambar tersebut, namun belum berpeluang untuk melaksanakannya sebelum ini.

“Tak betul (dakwaan kait pembubaran Parlimen). Jadi sebenarnya Perdana Menteri memang ada hasrat untuk ambil gambar Jemaah Menteri sebab ada anggota Jemaah Menteri yang baru.

“Daripada waktu pelantikan dan rombakan Jemaah Menteri pada bulan Disember yang lalu sehingga kini, belum ada peluang untuk diadakan sesi bergambar seperti itu,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial mendakwa Jabatan Perdana Menteri diarah bagi menghadiri sesi bergambar pada pagi ini, yang mencetuskan spekulasi kononnya Parlimen bakal dibubarkan dalam masa terdekat berdasarkan amalan lazim sebelum ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pemilihan hari ini sebagai waktu sesi bergambar dibuat memandangkan semua menteri hadir ke Putrajaya dengan berpakaian istiadat (Number One Dress).

“Hari ini merupakan hari Istiadat Perarakan Panji-Panji, maka Jemaah Menteri hadir ke Dataran Pahlawan memakai number one dress.

“Maka pihak Jabatan Perdana Menteri beranggapan ini masa yang sesuai untuk mengambil gambar tersebut (kerana semua sudah berpakaian lengkap). Jadi tidak ada isu, ia adalah perkara lazim,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN