KUALA LUMPUR: Pelakon, Kamal Adli, bersyukur apabila rezeki dalam bidang seni terus mengalir sepanjang tahun ini.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata, segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT memberi peluang kepadanya untuk berkongsi kebahagiaan bersama anak kesayangannya, Hawra Uqaira.
“Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama P.L I Love You dan selepas ini akan terlibat pula dengan sebuah filem yang agak berat.
“Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan yang sangat tenang. Saya bersyukur kerana rezeki yang diberikan Allah tidak pernah putus-putus.
“Saya gembira dapat berkongsi segala yang diperoleh dengan Hawra serta meluangkan masa bersamanya. Dengan Uqasha juga tiada masalah. Kami berdua baik-baik sahaja dan sangat seronok menjalani ‘co-parenting’ buat masa ini,” katanya.
Kamal berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Khas kenderaan Jetour T2 sempena International Mobility Show 2026, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu mengakui Hawra menjadi sumber kekuatan dan pembakar semangat untuk terus bekerja keras, selain sokongan warga maya yang sentiasa menceriakan hari-harinya.
“Apa yang membuatkan saya kuat ialah keluarga. Saya sentiasa memikirkan mereka, terutama anak saya, Hawra.
“Begitu juga dengan rakan-rakan di Threads yang sentiasa berinteraksi dengan saya. Kalau nampak saya membalas komen, itu petanda saya sedang bersendirian dan tidak tahu hendak buat apa.
“Sebab itu saya boleh melayan semua orang dan mereka juga rajin melayan saya. Terima kasih kepada mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kamal antara selebriti yang menerima kenderaan Jetour T2, sekali gus mendorongnya merancang percutian dan aktiviti berkhemah bersama anaknya di Janda Baik, Pahang.
“Kereta ini premium tetapi ditawarkan pada harga yang mampu milik. Saya tahu ramai yang sedang mencari model ini. Sebelum ini saya menggunakan kenderaan lain untuk aktiviti berkhemah yang kurang sesuai.
“Selepas menerima kereta ini, saya mahu terus membawa anak berkhemah. Kebanyakan lokasi kegemaran saya ialah tapak perkhemahan di sekitar Janda Baik. Saya memang ada tempat kegemaran di sana kerana cuacanya lebih sejuk berbanding Kuala Lumpur,” katanya.
Selain Kamal, antara selebriti tempatan yang turut menerima kenderaan Jetour T2 ialah Ernie Zakri, Azhan Rani dan Hayden Wong. – UTUSAN










