ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan senarai nama calon-calon yang akan mewakili gabungan berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam waktu terdekat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah menerima senarai nama calon-calon daripada Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Kita akan memuktamadkan dalam waktu yang tidak begitu lama dari sekarang.
“Manakala soal pembahagian kerusi juga kita hampir muktamadkan melibatkan calon daripada parti-parti komponen BN. Saya akan berunding berhubung perkara itu semasa saya berada di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, di sini hari ini.
Tambah Timbalan Perdana Menteri itu, PRN Johor akan menyaksikan kebangkitan semula ‘gelombang biru’ BN bukan sahaja di negeri ini, tetapi di seluruh negara.
“PRN Johor bukan sekadar medan memilih kerajaan negeri baharu, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula BN untuk menawan semula sokongan rakyat di seluruh negara.
“Ini adalah tapak penentuan yang sebenar. Dari Johor kita susun kekuatan, dari Johor kita nyalakan semula obor perjuangan dan dari Johor kita buktikan bahawa gelombang biru kembali semula.
“Kita mahu hantar isyarat jelas kepada seluruh negara bahawa BN masih relevan, masih kukuh dan terus menjadi sandaran rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid turut memberitahu, rekod pentadbiran kerajaan pimpinan Onn Hafiz membuktikan BN mampu menyediakan peluang pekerjaan, perumahan dan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.
“Bangsa Johor boleh belajar di Johor, bekerja di Johor, memiliki rumah di Johor dan membina keluarga di Johor. Itu hasil usaha yang sedang dilakukan kerajaan negeri hari ini.
“Johor mesti menjadi negeri contoh yang bukan sahaja menarik pelaburan, tetapi memastikan manfaat pembangunan dirasai seluruh rakyat,” katanya.-UTUSAN










