PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, berlapang dada apabila keputusan rayuan akhir pendakwaan membabitkan tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ditangguhkan ke 13 Julai depan.
Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berkata, dia tidak menjangkakan penangguhan itu, namun tetap menghormati keputusan yang dibuat mahkamah.
“Kita menghormati keputusan mahkamah. Ada perkara yang kita tidak boleh jangkakan.
“Kita doa yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas prosiding di Mahkamah Persekutuan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pelakon Suatu Hari Nanti itu menegaskan akan terus memberikan sokongan dan semangat kepada tunangnya supaya kekal tabah berdepan ujian.
“Semoga dia tabah.
“Insya-Allah, saya akan sentiasa berada di belakangnya,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir pendakwaan berhubung kes melibatkan Syed Saddiq berikutan salah seorang panel hakim, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, sedang bercuti sakit.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq atas empat pertuduhan, termasuk bersubahat melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). – UTUSAN










