Semakin ramai kanak-kanak berani tampil buat laporan pada JKM

Semakin ramai kanak-kanak berani tampil buat laporan pada JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semakin ramai kanak-kanak yang memerlukan bantuan dan perlindungan berkaitan isu seksual dan buli kini berani tampil membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menerusi program advokasi perlindungan kanak-kanak dan Talian Kasih.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM Selangor, Roziah Osman berkata, peningkatan laporan itu menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan kanak-kanak mengenai hak dan mekanisme perlindungan semakin meningkat.

Justeru, katanya, JKM Selangor pada tahun ini akan memperluaskan program tersebut kepada kira-kira 500 sekolah agama dan pusat tahfiz bermula Julai ini.

Jelas beliau, pelaksanaan program advokasi sebelum ini turut menyaksikan pertambahan kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Keadaan itu berlaku kerana semakin ramai kanak-kanak berani tampil membuat laporan melalui Talian Kasih selepas diberi pendedahan mengenai saluran mendapatkan bantuan. Kalau dilihat daripada pelaporan tahunan kita, kes semakin banyak dilaporkan apabila program advokasi dilaksanakan.

“Bukan kes buli sahaja, tetapi semua kes di bawah kategori kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan kerana mereka sudah tahu bagaimana hendak membuat laporan.

“Program advokasi lebih tertumpu kepada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan kanak-kanak dalam komuniti masyarakat jadi tahun ini kita memilih sekolah agama dan juga pusat tahfiz memandangkan wujudnya kes buli dan penderaan di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen ‘Safe Child, Strong Nation’ anjuran Pertubuhan Perlindungan Kanak-kanak Malaysia (CPSM) di Seri Negara, di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan kes yang dikendalikan JKM Selangor, penderaan fizikal dan seksual antara aduan yang kerap diterima.

Jelas beliau, program advokasi itu dilaksanakan bagi memastikan kanak-kanak mengetahui hak mereka seperti termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) serta Akta Kanak-Kanak.

“Kita tidak mahu mereka simpan apa yang berlaku kepada mereka. Kita juga mahu mereka mengetahui hak-hak mereka sebagai kanak-kanak supaya mereka berani tampil membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Presiden CPSM, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff mencadangkan setiap sekolah mempunyai seorang guru khusus yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan kanak-kanak bagi mengenal pasti lebih awal sebarang petunjuk penderaan atau masalah dihadapi murid.

“Sekolah patut ada guru khusus untuk menjaga kebajikan kanak-kanak dan mereka mestilah dipilih berdasarkan kriteria khusus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN