KUALA TERENGGANU: Portal Semak Kasih dilancarkan Bank Negara Malaysia (BNM) memudahkan waris menyemak sama ada ahli keluarga mereka mempunyai polisi insurans atau sijil takaful yang masih boleh dituntut.
Inisiatif itu diperkenal susulan kira-kira 50,000 polisi insurans dan sijil takaful yang layak menerima manfaat kematian dipercayai belum dituntut.
Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, portal berkenaan diperkenal bagi membantu waris menyemak kewujudan perlindungan insurans atau takaful dan menghubungi penyedia berkaitan untuk tindakan lanjut.
Katanya, perlindungan insurans dan takaful tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia mampu membantu keluarga ketika berdepan pelbagai kesukaran termasuk kos rawatan perubatan, kebakaran dan kemalangan.
“Malah masih terdapat keluarga yang tidak menyedari bahawa insan tersayang telah meninggalkan perlindungan takaful atau insurans untuk kebajikan mereka.
“Berdasarkan anggaran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), terdapat kira-kira 50,000 polisi insurans dan sijil takaful yang berkemungkinan layak menerima manfaat kematian tetapi masih belum dituntut,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Celik Kewangan Terengganu di Mayang Mall di sini, hari ini.
Adnan Zaylani berkata, pelbagai usaha dilaksanakan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful termasuk menghantar surat serta menggunakan khidmat ejen bagi menghubungi waris yang layak.
“Sehubungan itu, bagi meningkatkan kecekapan proses pembayaran tuntutan manfaat, portal Semak Kasih diperkenal untuk memudahkan waris membuat semakan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada penyedia berkaitan.
“Langkah ini penting bagi memastikan manfaat tersebut sampai kepada keluarga yang benar-benar berhak,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, institusi kewangan terus menyokong usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelbagai skim pembiayaan termasuk pembiayaan mikro tanpa cagaran sehingga RM100,000.
Menurutnya, BNM turut menyediakan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS berjumlah RM5 bilion bagi membantu perniagaan yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Mengulas mengenai penipuan kewangan, beliau berkata, hampir RM18 juta kerugian akibat jenayah scam direkodkan di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu.
“Ini bukan angka kecil. Jumlah ini merupakan simpanan bertahun-tahun, dana pendidikan anak-anak dan modal perniagaan keluarga yang lenyap dalam sekelip mata.
“Mangsa pula datang daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam, pesara dan peniaga kecil. Mereka menjadi mangsa bukan kerana tidak bijak, sebaliknya disebabkan taktik penjenayah yang semakin licik dan meyakinkan,” katanya.
Beliau berkata, celik kewangan kini bukan lagi sekadar pengetahuan tambahan, sebaliknya merupakan kemahiran hidup yang penting dalam menghadapi cabaran semasa.
Katanya, rakyat perlu memperkukuh daya tahan kewangan dengan membina asas kewangan yang kukuh termasuk mempunyai simpanan kecemasan dan perlindungan yang mencukupi.
“Realitinya, sebanyak 41 peratus rakyat Malaysia lebih cenderung berbelanja manakala 61 peratus tidak mempunyai simpanan kecemasan sebanyak RM1,000. Jelas sekali, membina asas kewangan yang kukuh kini menjadi satu keperluan mendesak. Ia bukan tentang menjadi kaya, tetapi mempunyai simpanan kecemasan, perlindungan dan ketenangan fikiran untuk masa depan,” katanya. – UTUSAN










