PETALING JAYA: Pelakon, Amerul Affendi, tidak menyangka tabiat makan kismis yang dilakukannya dalam drama Good Boys go To Heaven mencetuskan fenomena sehingga digelar ‘Inspektor Kismis’ di media sosial.
Amerul, 39, menyifatkan gelaran tersebut menunjukkan respons positif terhadap lakonanya selain mengakui mula melihat potensi perniagaan impak daripada watak Inspektor Kamal.
“Ada yang mahu saya jadi duta produk kismis, malah saya sendiri rasa macam nak keluarkan produk kismis sendiri.
“Apabila tengok sambutan seperti ini, rasa ini peluang bisnes baharu untuk saya ceburi. Apa salahnya, sekali sekala sementara benda tengah laku,” katanya.
Amerul ditemui semasa tayangan perdana Good Boys Go To Heaven, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Amerul menegaskan isu tabu mengenai jenayah cabul terhadap kanak-kanak yang dibawa dalam drama bersiri ini merupakan perkara yang memang terjadi sekeliling kita.
“Isu ini pernah berlaku bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Malah kejadian yang dekat yang pernah membuat kecoh di negara sendiri sebelum ini.
“Benda ini kita tidak boleh sorok lagi dan adalah lebih elok untuk kita bincang bersama mengapa perkara ini boleh terjadi,” katanya.
Tambah Amerul, episod enam adalah kemuncak di mana membuka mata masyarakat terhadap beban emosi yang terpaksa ditanggung mangsa pencabulanyang sering dipandang serong akibat kesan trauma.
“Apabila kita tunjukkan setiap perkara yang berlaku, barulah kita faham bahawa kita tidak perlu terlalu mudah menghukum orang.
“Kita tidak tahu sejarah hidup mereka dan apa dilalui. Selepas kita tahu, adakah kita masih tegar untuk menghukum sedangkan mereka melalui fasa yang sangat teruk dalam hidup?,” katanya.










