DALAM usia 68 tahun, seorang bekas Guru Besar yang sepatutnya ‘berehat’ selepas bersara daripada penjawat awam kini dia semakin sibuk menguruskan hal kampung dan kebajikan penduduk apabila dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di Relong, Lipis, Pahang.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Relong, Ishak Mohamad berkata, selepas bersara pada 2019, dia meneruskan tugas apabila dilantik oleh kerajaan negeri sebagai Pengerusi JPKK atau sinonim sebagai ketua kampung tersebut.

Ishak Mohamad (tiga dari kanan) mengiringi kakitangan Jabatan Perikanan melihat projek ternakan ikan keli di Kampung Relong, Lipis, Pahang baru-baru ini.“Sebenarnya, saya menjadi serba salah untuk membuat keputusan sama ada menerima atau sebaliknya jawatan Pengerusi JPKK, tetapi memandangkan kampung ini merupakan tempat kelahiran saya terpaksalah memikul tanggungjawab ini.

“Menariknya, saya sewaktu usia muda saya pernah mengajar di sini sebagai Guru Penolong dan akhirnya bersara sebagai Guru Besar sekolah rendah kampung ini kemudian dilantik pula sebagai ketua kampung yang jarang berlaku dalam kalangan bekas penjawat awam di tempat lain,” katanya di Kampung Relong, Lipis, Pahang baru-baru ini.

Ishak yang mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan (1979-1980) berkata, senario bertugas sebagai Guru Besar dan ketua kampung banyak perbezaan tanggungjawab walaupun dijenamakan sebagai pemimpin, tetapi ketua kampung lebih ‘sibuk’ dengan urusan mentadbir dan mencongak pembangunan dan kebajikan penduduk.
“Berlainan di sekolah semua guru senada berasaskan tanggungjawab mengajar dan membantu pentadbir, (Guru Besar), tetapi tidak di kampung kerana penduduk berlainan pendapat ditambah pula perbezaan politik, malahan kadang-kadang amat sukar diuraikan masalah setempat,” katanya.

Ishak yang mempunyai anak seramai tujuh orang anak dan sembilan cucu memulakan perkhidmatan sebagai guru penolong di SK Kechor Tui (1981- 1984) dan kemudiannya empat buah sekolah rendah sebelum dilantik sebagai Guru Besar di SK Felda Lakum, Bentong dan meneruskan tugas yang sama di empat buah sekolah serta perkhidmatan terakhir di SK Relong setelah bertugas selama 38 tahun.
Dia berkata, tanggunjawab sebagai Pengerusi JPKK akan dipikul sekadar termampu malahan kepimpinan sebagai Guru Besar sebelum ini sedikit sebanyak boleh diimplementasi di peringkat kampung khususnya pendekatan menerusi pendidikan kepada generasi muda di situ.
Ujarnya, sebagai ketua kampung apatah lagi tempat kelahiran, dia mengenali semua penduduk dan tahu kerenah masing-masing sedikit sebanyak memudahkan pentadbirannya yang berteraskan peribahasa, ‘Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’. –UTUSAN









