Seramai 25 orang ahli Pengakap Remaja daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Perak baru-baru ini menyertai program 150 km Scout Cycle Ride 2026 yang diadakan di Port Dickson Negeri Sembilan.
Program berbasikal sejauh 150 kilometer itu melibatkan laluan Sepang-Lukut bermula dari Kajang menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kemang, Negeri Sembilan sebelum kembali semula ke Kajang, Selangor.

Program berkenaan dianjurkan sebagai satu cabaran lasak bagi menguji ketahanan fizikal dan mental peserta dalam suasana penuh disiplin dan semangat berpasukan.
Lebih menarik, program berkenaan disertai oleh 10 orang murid orang kurang upaya (OKU) penglihatan daripada SMK Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur.
Penyertaan mereka membuktikan bahawa OKU bukan penghalang untuk mencapai kejayaan, malah menjadi inspirasi kepada peserta lain.
Sepanjang program, peserta bukan sahaja mengharungi perjalanan jauh, malah didedahkan dengan elemen keselamatan jalan raya, pengurusan masa serta kerjasama berkumpulan.
Program tersebut dianjurkan khusus bagi membolehkan peserta memenuhi syarat untuk memperoleh Lencana Ekspedisi Pengakap Remaja, iaitu salah satu pengiktirafan penting dalam pergerakan pengakap yang menilai kecekalan, kepimpinan dan semangat berdikari.
Seorang peserta, Aisya Humairah Mohd. Sharizal, 16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur teruja apabila berpeluang melakukan kayuhan basikal tandem buat pertama kali bagi jarak sejauh itu.

“Sebelum ini, saya hanya meluangkan masa berbasikal bersama ibu atau bapa di sekitar Putrajaya sahaja. Pengalaman menyertai acara sejauh ini amat bermakna buat saya,” kata remaja berkeperluan khas itu.
Nada keterujaan yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi peserta muda, Zafran Ahmad Shalby, 17, yang menetap di Putrajaya.
Pelajar SMK Putrajaya Presint 11 (1) itu mengakui tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk mencabar keupayaan diri sebaik sahaja mengetahui mengenai penganjuran program tersebut.
“Apabila mendapat tahu tentang 150 km Scout Cycle Ride 2026, saya terus mendaftar tanpa membuang masa. Malah, saya agak terkejut kerana sebelum ini aktiviti kepengakapan di daerah saya lebih sinonim dengan aktiviti berjalan kaki sahaja, tetapi kali ini penganjur berjaya membawa kelainan melalui acara kayuhan sejauh 150 kilometer,” katanya.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik (COMSTAR), Mohamad Letfee Ahmad berkata, aktiviti seumpama itu sebenarnya membuka mata banyak pihak tentang kemampuan luar biasa yang ada dalam diri setiap ahli pengakap, terutamanya golongan berkeperluan khas.
Menurutnya, semangat ketabahan yang ditunjukkan oleh semua peserta, lebih-lebih lagi 10 orang murid daripada SMK Pendidikan Khas Setapak itu sangat wajar dipuji.
“Berbasikal sejauh 150 kilometer ini bukan satu perkara yang mudah untuk orang biasa, apatah lagi bagi mereka yang ada masalah penglihatan. “Tetapi apabila mereka sendiri berjaya tamatkan kayuhan, ia bukti jelas bahawa batasan fizikal itu sebenarnya tidak patut dijadikan alasan,” jelasnya.-UTUSAN










