KOTA BHARU: Kegembiraan sebuah keluarga menduduki rumah yang baru dibaik pulih selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, bertukar dukai apabila kediaman itu terbakar di Kampung Cina, Gok Kapur di sini hari ini.
Lebih memilukan, Miss Sanma Mateaha, 43, menyaksikan sendiri kediaman yang didiaminya bersama suami dan tiga anak selama 16 tahun musnah sekelip mata, meskipun ketika dia tiba di lokasi, rumah itu belum terbakar.
“Saya tengok depan mata rumah yang baru siap dibina musnah terbakar. Rumah ini dibaik pulih hasil bantuan ibu saudaranya yang mahu melihat saya sekeluarga hidup lebih selesa.
“Saya panik mencari anak-anak di dalam rumah kerana menyangka mereka berada di rumah sebelum teringat mereka pergi ke sekolah. Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sebelum melihat rumah terbakar sambil menangis,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Saaidah Mohamad Shamsi, 32, berkata, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting kerana api marak dengan begitu cepat.
Katanya, semasa kejadian dia sedang berehat di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi bising yang memaklumkan kebakaran berlaku di kawasan sekitar rumah.
Sementara itu, Komander Operasi, Penguakuasa Bomba Kanan II, Khairul Arifin Che Ramli berkata, sebanyak 15 buah rumah penduduk terbakar di kawasan tersebut.
Katanya, punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran tersebut masih dalam siasatan.
“Kedudukan rumah kayu yang terlalu rapat menyebabkan api mudah merebak. Bagaimanapun tindakan pantas bomba dapat menyelamatkan lebih 10 buah rumah di kawasan sekitar daripada terbakar,” ujarnya. – UTUSAN










