KUALA LUMPUR: Rekod lampau Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum dan selepas menjadi menteri akan menjadi kelemahan utama Bersama dalam rakyat membuat perhitungan sama ada mahu memberikan undi atau sebaliknya pada PRU akan datang.
Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis, Dr. Norhudi’in Danu berkata, menjelang PRU16, rakyat sedang melihat Rafizi bersama sekutunya, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa penyokong mereka dari PKR akan mengadu-domba mengenai kerajaan semasa terutama menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.
Katanya, apa yang Rafizi mungkin lupa atau buat-buat lupa ialah rakyat mengenangkan janji-janji manis oleh beliau sebelum PRU16 dan semua yang dibuat oleh kerajaan terdahulu adalah semua salah dan hanya beliau yang betul.
“Selepas menang PRU15 dan menjadi kerajaan, rakyat juga menilai prestasi Rafizi sebagai Menteri Ekonomi yang hanya terkenal dengan pengenalan mesin vending dan pengenalan sistem PADU yang menelan belanja puluhan juta ringgit sehingga ada label menteri gagal yang melekat padanya.
“Rafizi masih berani untuk menawarkan Agenda 12 perkara Parti Bersama Malaysia meliputi tumpuan kepada pembaharuan ekonomi, jaminan sosial, pendidikan, dan alam sekitar dalam usaha parti itu untuk menarik undi dan sokongan.
“Dengan rekod lampau yang buruk, saya tak rasa masih ada rakyat yang percaya dengan komitmen Rafizi atau Bersama, kalau ada yang menyokong pun mungkin kerana ada dendam pada PKR atau sememangnya taksub dengan Rafizi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, membuka lebaran baharu dalam corak pemimpin dan kepimpinan bukan dengan cara membuka wadah baharu kerana ia hanya memecah pengaruh untuk satu kepuasan peribadi.
Katanya, ia sekali gus mencabar akar kepimpinan sedia ada yang teguh mempertahankan supaya ia kekal berdiri tanpa rasa gentar walau diancam bertubi-tubi.
“Membuka satu lagi parti baharu dalam politik Malaysia pada hari ini adalah satu perkara yang mengundang kekecewaan rakyat kerana dalam situasi dunia yang kian tenat, ada segelintir pemimpin yang masih terfikir untuk bertindak mementing diri dan bukan berusaha memperkukuhkan apa yang dimiliki,” katanya.-UTUSAN










