KUALA LUMPUR: Rayuan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd terhadap sabitan salah, hukuman penjara 15 tahun dan denda RM284.2 juta ditangguhkan ke 21 September ini.
Rayuan itu melibatkan 96 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM16,623,000, yang didakwa 11 tahun lalu.
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menetapkan tarikh baharu itu selepas pembelaan memaklumkan pihaknya baru menerima eksibit, nota keterangan setebal 4,000 muka surat dan alasan penghakiman pada 4 Jun lalu.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan rayuan selama tiga hari iaitu pada 21, 22 dan 23 September ini.
Dalam pada itu, Hakim Noor Ruwena turut mengingatkan supaya tiada lagi permohonan penangguhan dikemukakan memandangkan tarikh pendengaran telah dipersetujui semua pihak semasa pengurusan kes sebelum ini.
“Kes ini Julai 2023, agak lama untuk rayuan didengar (tetapi) memandangkan ini kali pertama penangguhan untuk pendengaran, saya terpaksa benarkan. Tetapi saya harap tiada lagi permohonan untuk menangguhkan kes ini.
“Oleh itu, saya melapangkan tarikh-tarikh pendengaran pada 22, 23 dan 25 Jun dan diganti 21, 22 dan 23 Sept 2026. Saya percaya dengan kerjasama pihak-pihak, kes ini boleh diselesaikan pada tahun ini,” katanya.
Terdahulu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen-dokumen berkaitan bagi penyediaan hujahan.
“Saya memohon supaya prosiding yang dijadualkan bermula hari ini, ditetapkan ke tarikh lain iaitu pada September depan. Kita juga telah menghantar dua surat permohonan penangguhan masing-masing bertarikh 14 Jun dan 19 Jun lepas untuk permohonan tersebut,” katanya.
Dalam prosiding hari ini, turut hadir bagi pihak pendakwaan ialah Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, Haresh Prakash Somiah dan Mohd. Ashrof Adrin Kamarul.
Pada 6 Julai 2023, Otman didapati bersalah atas 17 pertuduhan melibatkan tuntutan palsu, 15 pertuduhan salah guna kedudukan dan 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara berjumlah 243 tahun dan didenda RM190 juta bagi 17 kesalahan melibatkan tuntutan palsu. Jika denda gagal dibayar, lelaki itu dipenjara 119 bulan.
Bagi 15 kesalahan salah guna kedudukan, mahkamah memerintahkan penjara 85 tahun dan didenda RM10.8 juta atau dipenjara 125 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.
Lelaki itu turut diperintahkan pemenjaraan antara tiga bulan dan 11 tahun dan didenda berjumlah RM83.4 juta atau dipenjara 934 bulan, sekiranya denda tidak dijelaskan.
Namun demikian, Otman hanya menjalani tempoh pemenjaraan selama 15 tahun selepas mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak berkuatkuasa pada tarikh sabitan. – UTUSAN










