PETALING JAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Biro Politik semalam setelah tidak menerima sebarang maklum balas diterima daripada PN terhadap cadangan untuk bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Katanya, Putra kecewa dengan tindakan PN yang tidak memberikan sebarang maklum balas.
“Putra sebelum ini telah menghubungi kepimpinan PN serta mengemukakan surat cadangan kerjasama atau electoral pact, termasuk cadangan untuk bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor yang dikenal pasti parti berkenaan.
“Bagaimanapun sehingga tarikh mesyuarat berkenaan, Putra mendakwa tiada sebarang maklum balas diterima daripada PN terhadap cadangan tersebut. Putra tetap istiqamah dengan agenda perjuangan yang bersih, bermoral dan tidak munafik,” katanya dalam kenyataan.
Nasrul Ali Hasan turut menjelaskan bahawa sejak awal parti itu bersetuju untuk bekerjasama dengan PN bagi mengelakkan pertembungan kerusi dalam kalangan parti pembangkang.
Sementara itu, Nasrul Ali Hasan turut menghargai tawaran kerjasama politik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun tidak dapat menerima cadangan tersebut atas faktor kesuntukan masa serta pertindihan kerusi yang dikenal pasti di beberapa kawasan DUN.
“Kita akan meneliti secara menyeluruh keputusan dan pola pengundian PRN Johor sebagai sebahagian daripada penilaian strategik parti, yang akan dijadikan asas pertimbangan bagi kemungkinan bertanding di Pilihan Raya Negeri Sembilan di empat DUN pada masa akan datang melalui kerjasama electoral pact dengan mana-mana pihak.
“Pada masa sama, fokus utama Putra adalah membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16,” jelasnya. – UTUSAN










