GEORGE TOWN: Kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan sebuah pusat penyembelihan di setiap daerah sebagai sebahagian daripada langkah memperkasa industri ternakan di Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol berkata, inisiatif itu juga diharap dapat meningkatkan keselamatan makanan serta memastikan proses penyembelihan dapat dijalankan secara lebih sistematik, bersih dan mematuhi syarak.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut akan melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), Bahagian Kerajaan Tempatan serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
“Kerjasama ini penting bagi memastikan agar pembangunan dan pengoperasian pusat penyembelihan di setiap daerah memenuhi keperluan teknikal, kesihatan awam, pengurusan sisa, kebajikan haiwan serta pematuhan syariah yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
Rashidi berkata, ketika ini, aktiviti penyembelihan di beberapa kawasan masih dijalankan secara berskala kecil mengikut keperluan setempat dan kerajaan negeri berpandangan, sudah tiba masanya pendekatan yang lebih sistematik serta berpusat diwujudkan dalam menangani isu ini.
Beliau berkata, dengan adanya pusat penyembelihan seperti itu, ia juga boleh menjadi hab sokongan bagi industri ternakan menerusi penyediaan pelbagai kemudahan seperti pemeriksaan veterinar, pemantauan kesihatan haiwan, kawalan penyakit, pengurusan sisa yang lebih cekap serta ruang pemprosesan yang memenuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan.
“Pusat ini akan menyediakan kemudahan pemeriksaan veterinar, pemantauan kesihatan haiwan, kawalan penyakit, pengurusan sisa yang lebih cekap serta ruang pemprosesan yang memenuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau berkata, setiap haiwan yang dibawa masuk ke pusat penyembelihan berkenaan akan melalui pemeriksaan veterinar sebelum dan selepas penyembelihan bagi memastikan hanya haiwan yang sihat dan selamat dibenarkan memasuki rantaian bekalan makanan. – UTUSAN










