PETALING JAYA: Proton Holding Berhad (Proton) mendekati rakyat Malaysia menerusi kerjasama terbaharu dengan Sunway Tiny Toys dengan memperkenalkan model miniatur skala 1/64 Proton Saga baharu dan Proton e.MAS 5.
Kerjasama yang menyaksikan pengenalan model skala 1/64 Proton Saga baharu dan Proton e.MAS 5 itu merupakan sebahagian daripada program Cerita Malaysia Kita yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi meraikan kisah, jenama dan pengalaman harian rakyat Malaysia menerusi koleksi bercirikan tempatan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, Proton Saga dan Proton e.MAS 5 dipilih kerana kedua-duanya mewakili perjalanan serta evolusi terkini jenama automotif nasional itu.
“Proton Saga sudah sekian lama mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat Malaysia, manakala Proton e.MAS 5 pula melambangkan hala tuju baharu yang cukup mengujakan buat PROTON serta landskap mobiliti negara.
“Dengan menjadikan kedua-dua kenderaan ini sebagai model skala untuk koleksi, kami berharap dapat membuka satu lagi ruang untuk rakyat Malaysia mendekati PROTON. Ia bukan sekadar kereta miniatur, sebaliknya mewakili kenangan, aspirasi dan kemajuan yang membentuk perjalanan kami sebagai jenama automotif nasional,” katanya dalam satu kenyataan.
Proton berkata, model miniatur berkenaan akan ditawarkan kepada orang ramai di cawangan Sunway Tiny Toys di Sunway Lagoon serta melalui penjual semula rasmi terpilih.
Menurutnya, Proton Saga baharu dipilih kerana statusnya sebagai model paling dikenali di Malaysia serta rekod jualan yang terus kukuh dalam segmen kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Pada masa sama, Proton e.MAS 5 yang diperkenalkan sebagai kenderaan elektrik (EV) mampu milik turut mencatat penerimaan memberangsangkan dalam kalangan pengguna tempatan, sekali gus menyokong usaha memperluaskan penggunaan mobiliti elektrik di negara ini.
“Bagi pengumpul, model skala 1/64 ini menawarkan cara ringkas tetapi bermakna untuk memiliki dua pencapaian penting dalam perjalanan semasa Proton.
“Sementara itu, peminat muda pula, ia mungkin menjadi pengenalan awal kepada model-model yang sedang membentuk masa depan automotif Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, kerjasama dengan Sunway Tiny Toys itu menyusuli kejayaan usaha sama terdahulu bersama Mattel yang menghasilkan model Hot Wheels Proton Saga, sekali gus mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk mengukuhkan hubungan dengan rakyat Malaysia melalui pelbagai platform dan produk berinspirasikan dunia automotif. – UTUSAN










