PRN Johor: Pas tanding 11 kerusi berdasarkan kajian

PRN Johor: Pas tanding 11 kerusi berdasarkan kajian bolh menang

MOHD. Amar Nik Abdullah ketika menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas bertanding di hanya 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas kajian parti itu mendapati kawasan-kawasan berkenaan mempunyai potensi terbaik untuk dimenangi.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, walaupun parti itu mempunyai ruang untuk bertanding di beberapa kerusi lain, keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap peluang kemenangan bagi memastikan kekuatan jentera dapat digembleng secara lebih berkesan.

“Kita (Pas) sendiri sudah buat kajian dan berdasarkan semua maklumat diterima, potensi kita ada di 11 kerusi yang ditandingi. Walaupun ada tempat-tempat lain yang kita boleh masuk tetapi kita tengok dari segi potensi boleh menang.

“Kita mahu menyatukan tenaga untuk perform dengan lebih baik dan dalam konteks Pas di Johor, masih terlalu awal untuk jadi kerajaan. Kita melihat panggung ini (PRN Johor) sebagai panggung untuk jadi pembangkang yang kuat,” katanya selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini hari ini.

Menurut beliau, sasaran Pas adalah memenangi semua 11 kerusi yang ditandingi, namun masih terlalu awal untuk membuat unjuran kerana proses penamaan calon hanya berlangsung esok.

“Cuma mahu sebut ini (berapa kerusi menang) tidak boleh sebab esok baru penamaan calon dan mood (pengundi) belum boleh dibaca. Biasanya selepas penamaan calon sebab ketika itu semua orang tahu calon ini bertanding mewakili parti ini.

“Ketika itu (selepas penamaan calon) kita boleh tengok mood orang-orang di bawah. Jadi untuk sebut (yakin menang berapa kerusi) hari ini terlalu awal. Namun sasaran kita kalau boleh kesemua 11 kerusi kita mahu menang,” ujarnya.

Mengulas pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, setiap parti bertanding mengikut kekuatan masing-masing, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memilih bertanding di 16 kerusi DUN.

Sementara itu, beliau berkata, jentera Pas Kelantan bagi PRN kali ini diarahkan memberi tumpuan kepada Negeri Sembilan dan tidak ditugaskan secara khusus di Johor.

Katanya, sasaran Pas di Johor dan Negeri Sembilan adalah untuk menambah jumlah kerusi dimenangi, dengan parti itu kini memiliki satu kerusi di Johor dan tiga kerusi di Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN